Batu Pahat, 23 Julai, 2001.
Demokrasi Malaysia dicemari sekali lagi apabila polis dan FRU bertindak ganas merempuh ceramah yang diadakan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Johor di hadapan pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri. Kira-kira 50 orang FRU dan berpuluh-puluh anggota polis lain yang beruniform dan tidak beruniform telah terlibat di dalam operasi itu. Anggota polis dan FRU telah berkumpul seawal jam 8.00 malam di hadapan perkarangan pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri, bahkan sekatan jalanraya telah dibuat sebelum maghrib di simpang masuk ke tempat ceramah.
Program yang cuba dimulakan pada jam 9.50 malam tidak dapat mengemukakan sebarang ucapan aluan. Us. Sidek Nor, bekas tahanan ISA selama 5 tahun yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, hanya dapat membaca sepotong ayat Qur'an apabila pihak polis dan FRU mula merempuh rantaian manusia yang dibuat oleh petugas-petugas Dewan Pemuda PAS Johor. Ishak, pegawai polis daerah Batu Pahat yang sering bertindak ke atas ceramah-ceramah PAS di Batu Pahat, telah memulakan asakan dan menarik Us. Sidek Nor.
Menurut beberapa saksi, rantaian manusia itu berjaya dibolosi polis apabila ada beberapa orang yang telah dikenalpasti sebagai SB turut sama di dalam membina rantaian tersebut. Para SB inilah yang telah bertanggungjawab membenarkan pihak polis membolosi kepungan tersebut. Petugas-petugas PAS, yang pada awalnya cuba mempertahankan Us. Sidek Nor daripada diheret polis sehingga berlaku sedikit pertempuran antara mereka dengan polis, telah terpaksa melepaskan Us. Sidek Nor dengan nasihat kepimpinan negeri.
Seramai sembilan orang telah ditahan termasuk Us. Sidek Nor. Ada di antara mereka telah turut ditahan kerana bertakbir. Salah seorang dari mereka di tahan apabila menjawab "Iman terpulang kepada Allah" apabila polis yang mengetuai operasi tersebut bertanya "Di mana iman anda semua?"
Pada malam sebelumnya di Pasir Gudang, YB Mahfuz Omar juga telah dipaksa memberhentikan ceramahnya apabila polis dan FRU telah menghalang ceramah dari diteruskan. Walau bagaimanapun, dengan jumlah petugas yang melebihi 150 orang, pihak polis gagal merempuh kepungan tersebut. Ceramah telah diberhentikan apabila ahli-ahli Badan Perhubungan Negeri Johor menasihatkan Dewan Pemuda PAS Johor menghentikan ceramah tersebut.