Kembali

Tanggungjawab kepada ibubapa

Firman Allah S.W.T. kepada Nabi Allah Musa A.S. : "Hai Musa! Sesungguhnya barangsiapa berbuat
kebajikan kepada ibubapanya tetapi mendurhakai Aku, nescaya akan Aku tuliskan dia adalah orang yang berbuat baik. Dan, barangsiapa yang berbuat kebajikan kepada Aku tetapi mendurhakai ibubapanya, nescaya akan Aku tuliskan dia adalah orang yang berbuat durhaka"Jangan sesekali kita menderhakai walaupun salah satu dari kedua orang tua kita. Jangan sesekali kita menderhakai mereka walaupun dengan satu bunyi dengusan di hidung kerana perasaan tidak puas hati terhadap mereka.

Dan, janganlah kita sesekali menderhakai mereka walaupun mereka berbuat zalim. Sabda Junjungan Nabi Besar Muhammad Rasurullah S.A.W. : "Barangsiapa pagi-pagi lagi membuat kesenangan kepada kedua ibubapanya, nescaya terbuka dua pintu syurga untuknya. Dan, barangsiapa mengikutinya nescaya beroleh sepertinya juga. Jikalau hanya seorang sahaja di antara mereka yang menyenangi, maka dia beroleh satu pintu sahaja. Dan barangsiapa pagi-pagi lagi membuat kemarahan kedua ibubapanya, nescaya terbuka dua pintu neraka untuknya. Jikalau hanya seorang sahaja di antara mereka yang marah, maka dia beroleh satu pintu sahaja.

Menderhakai ibu adalah satu-satunya perbuatan yang amat dimurkai Allah S.W.T. Renungilah firman
Allah S.W.T. sepertimana yang telah dituliskan di atas. Oleh itu sementara ibu kita masih hidup dan bersama kita, maka adalah wajib kita memenuhi tanggungjawab kita sebagai anak, iaitu dengan
berterusan membuat kebajikan terhadap mereka. Sabda Junjungan Nabi Besar Muhammad Rasulullah S.A.W. :

"Berbuat kebajikan kepada kedua ibubapa adalah lebih utama dari bersolat, bersedekah, berpuasa, menunaikan umrah, menunaikan haji dan berjihad fisabilillah".

Sekiranya mereka tinggal berasingan dari kita, maka ziarahilah mereka seberapa kerap yang mungkin. Jika mereka tinggal berseorangan maka bawalah mereka tinggal bersama. Ingatlah bahawa sesungguhnya Allah S.W.T. telah menjadikan kita tetapi merekalah orang-orang yang telah sepenuhnya bertanggungjawab memberikan kehidupan kepada kita. Walaupun mengambil mereka tinggal bersama berkemungkinan akan menimbulkan rasa kurang senang di hati sesetengah pasangan kita namun sedarlah bahawa hubungan ibu dan anak atau bapa dan anak dengan hubungan kita dan  pasangan kita tidak akan sesekali sama. Justeru mengambil berat kebajikan ibubapa adalah keutamaan yang hakiki.

Lihatlah apa yang boleh anda lakukan untuk mereka. Terlalu banyak perkara yang boleh dilakukan umpamanya memberikan wang saku yang mencukupi untuk mereka,membelikan stok makanan untuk mereka seperti beras, susu, gula, sayur, ikan, daging dan sebagainya, menyediakan mereka pakaian yang lebih baik, membantu menjelaskan bil-bil air, letrik dan telefon mereka, membantu menjelaskan bil-bil cukai seperti cukai tanah, membantu menjelaskan ansuran kenderaan mereka, wang mengisi minyak perjalanan, membantu menjelaskan hutang-piutang mereka, membersihkan, menghias dan mencantikkan halaman luar dan dalam rumah mereka, menjaga dan memelihara harta mereka seperti sawah bendang, kebun dan ladang. Sesungguhnya kesemua ini mungkin berat untuk dilaksanakan namun kesedaran kita bahawa betapa beratnya tanggungjawab yang telah semasa masih dalam kandungan di hari sangkala pertama ditiupkan kelak.

Hubungan ibubapa, anak-anak, cucu-cucu, cicit-cicit sehinggalah yang terakhir tidak akan sesekali putus dunia dan akhirat. Janganlah kita berbalah dalam apa jua perkara pun dengan kedua orang tua  khususnya ibu kita. Sekiranya ada kesilapan maka berbincanglah dengan aman dan bentuklah keyakinan untuk mencari kesefahaman bersama. Sekiranya masih tiada persefahaman maka, senyapkanlah perkara itu dari diperbincangkan untuk mengelakkan perbalahan. Sekiranya perkara tersebut masih perlu diperbincangkan, jemputlah mana-mana anggota keluarga yang cukup kuat yang
boleh meyakinkan mereka akan cadangan anda. Sesungguhnya betapa adanya sesetengah dari kita yang agak besar kepala dan menafikan ibunya kerana sedikit atau sebanyak perselisihan faham, kelak nama ibu itulah yang akan dibin dan dibintikan kepadanya sewaktu jasad ditalkinkan dan nama kita berbin dan berbinti ibu itulah yang akan kekal buat selama-lamanya.

Bagi yang tinggal berdekatan dengan ibubapa mereka, pulanglah ziarahi mereka. Bagi yang tinggal agak berjauhan, cuba-cubalah cari jalan untuk pulang menziarahi mereka. Bagi yang terlalu jauh pula, sekiranya pulang adalah sesuatu yang tidak selalu boleh dilakukan, maka ringan-ringankanlah hati itu mengirimkan sekeping kad ucapan Selamat Hari Ibu buat mereka. Isilah kesunyian hati mereka dengan ingatan kita sebagai anak-anak yang solehah. Jadikanlah hari istimewa ini sebagai salah satu kebiasaan hidup kita. Mengucapkan kata-kata indah kepada ibu-ibu tercinta. Kita bukan sahaja boleh mengucapkannya kepada ibu-ibu kita bahkan juga boleh mengucapkannya kepada mana-mana wanita yang pernah dan sedang mempunyai anak, contohnya kepada isteri atau isteri-isteri kita sendiri, ibu-ibu saudara kita, ibu mertua kita, ibu-ibu di sebelah mertua kita, ibu tiri kita, ibu tumpang kita, ibu susu kita, ibu angkat kita, rakan-rakan wanita sepejabat kita yang telah menjadi ibu bahkan kepada mana-mana wanita yang bakal menjadi ibu serta mana-mana wanita yang menjadi ibu kepada  anak-anak angkat.

Sabda Junjungan Nabi Besar Muhammad Rasurullah S.A.W. : "Kembalilah kepada kedua ibubapamu, mintalah izin daripada keduanya. Sekiranya keduanya memberikan persetujuan, maka berjihadlah menyempurnakannya dan sekiranya tidak, maka berbuatlah kebajikan kepada keduanya mengikut kesanggupanmu. Sesungguhnya itulah yang sebaik-baiknya untuk kamu bertemu dengan Allah S.W.T.  sesudah Tauhid"

Kembali