Hukum memberi salam Hukum memberi salam adalah sunat muakkad bagi perseorangan
dan sunat kifayah bagi perkumpulan sedangkan menjawab salam pula adalah wajib bagi
perseorangan dan fardhu kifayah bagi perkumpulan.
Hikmah memberi salam :
Dulu kita bangga memberi salam kepada saudara Islam tapi kini kita lebih selesa dengan hanya menyebut "Hai". Kononnya lebih mudah dan ringkas. Maklumlah dalam dunia yang serba pantas ini segalanya perlu cepat. Kalau menyebut "Assalamualaikum", belum habis menyebut salam, orang tersebut sudah tiada di depan mata. Itulah antara alasan yang sering digunakan apabila ditanya kenapa dan mengapa mereka lebih suka mengucapkan "hai" daripada "Assalamualaikum". Tapi sebenarnya ia menunjukkan betapa rapuhnya ukhuwwah Islamiah kita hari ini. Tidak kurang juga yang mengatakan bahawa menyebut "Assalamualaikum" dah tak serasi dengan zaman, dah tak moden dan tak ikut arus peredaran zaman. Memberi salam juga seolah-olah hanya budaya pak aji dan mak aji sahaja. Sedangkan memberi salam adalah dituntut dalam Islam terhadap seluruh umatnya. Seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah dalam hadisnya yang bermaksud: "Seseorang bertanya kepada Rasulullah SAW: "Apakah perkara yang terbaik di dalam Islam?" Beliau menjawab: "Memberi makanan dan memberi salam kepada orang yang kau kenal atau tidak kau kenal" (HR. Bukhari dan Muslim) Dan di antara hak Muslim adalah mengucapkan salam kepada sesama Muslim. Sabda Rasulullah SAW: "Demi Dzat yang diriku dalam genggamanNya, mereka tidak masuk syurga sehingga mereka beriman, dan mereka tidak beriman sehingga mereka saling menyintai. Maukah kamu aku tunjukkan sesuatu yang jika kamu mengerjakannya kamu saling menyintai? Sebarkan salam di kalangan kamu." Dari Abu Hurairah Ra, Rasulullah SAW bersabda, "Yang berkendaraan lebih dahulu mengucapkan salam kepada yang berjalan kaku; yang berjalan kaki mengucapkan salam kepada yang duduk, dan rombongan yang sedikit mengucapkan salam kepada rombongan yang banyak." (HR. Muslim) |