Make your own free website on Tripod.com

PAS Senai sekali lagi di gempur polis

Kulai, 29 Julai, 2001

YB Us. Nasharudin memulakan ceramah
Us. Nasharudin diapit oleh Mazlan Aliman dan Emran Kammin
anjaria4.jpg (13484 bytes)

Human-chain yang dibina oleh petugas PAS di keliling pentas

Sdr. Mazlan Aliman, Jalil dan Johar di Balai Polis Kulai

PAS Kawasan Senai sekali lagi menempa sejarah apabila ceramahnya di Taman Anjaria, Felda Taib Andak telah digempur polis. Program yang telah diadakan di PASTI Al-Wahida itu mendapat sambutan dari orang ramai dan juga para peniaga. Lebih daripada 10 buah gerai telah dibuka yang sebahagian peniaganya datang dari luar Johor.

Pihak polis telah berkumpul awal di hadapan perkarangan tempat ceramah. Kira-kira 60 orang polis bertopi keledar merah lengkap dengan belantan telah mengelilingi kawasan tersebut. Ia tidak termasuk anggota polis lain yang beruniform dan tidak beruniform. seperti kebiasaannya, Hj Yusuf mengetuai operasi pada malam tersebut. Walau bagaimanapun lebih dari 50 petugas kawalan berjaya dihimpunkan oleh PAS.

Majlis dimulakan agak lewat, iaitu kira-kira jam 10.00 malam dan dibuka dengan bacaan al-qur'an selama kira-kira 15 minit. Selepas pungutan derma dilancarkan selama 15 minit dengan iringan selawat, majlis telah menjemput tetamu undangan pada malam itu iaitu YB. Us. Nasharudin Mohd Isa, Setiausaha Agong PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kawasan Yan, Kedah. Us. Nasharudin telah memulakan ceramahnya dengan mendedahkan keresahan yang teruk melanda UMNO, khususnya Perdana Menteri, Mahathir Mohamad. Selain itu beliau juga menyampaikan perkembangan persidangan parlimen.

Lima minit kemudian, Hj Yusuf telah mengumumkan bahawa ceramah tersebut tidak mendapat permit dan meminta agar ceramah dihentikan dalam masa 10 minit. Us. Nasharudin tidak berganjak dan meneruskan ceramah yang disampaikannya. Begitu juga dengan para hadirin yang tidak berganjak walaupun diarah agar meninggalkan tempat itu. Sekumpulan muslimat dengan anak masing-masing tidak langsung berganjak dari kedudukan mereka yang betul-betul di hadapan pentas ceramah. Sementara itu petugas-petugas PAS yang telah berikrar untuk mempertahankan penceramah telah mengelilingi pentas dengan membina 2 lapisan rantaian manusia (human chain).

Hj. Yusuf kemudiannya mengarahkan pasukannya yang sudah bersiap sedia untuk merempuh pentas tersebut bagi menangkap Us. Nasharudin. Pasukan bertopi keledar mula bergerak dan merempuh kepungan petugas PAS. Semua petugas PAS di dalam keadaan tidak berganjak dan berjaya mempertahankan kepungan tersebut. Pihak polis mula melakukan kekasaran dengan merentap beberapa orang petugas di dalam rantaian tersebut. Sebahagian petugas juga telah dipukul dengan belantan. Lampu tiba-tiba terpadam dan beberapa orang petugas PAS mula bertindak mempertahankan diri dengan menolak balik polis yang datang merempuh. Beberapa orang anggota polis telah terjatuh ke dalam longkang. Hj. Yusuf juga mendakwa telah ditendang oleh orang yang tidak dapat dikenalpasti. Dalam keadaan yang kelam-kabut itu pasukan khas berjaya menyelamatkan dan mengeluarkan Us. Nasharudin dari kepungan tersebut. Tidak lama kemudian lampu terpasang semula.

Apabila mengetahui Us. Nasharudin telah berjaya diselamatkan, Sdr. Mazlan Aliman dan Sdr. Aminuddin Ayiub meminta petugas-petugas PAS bertenang. Polis kemudiannya menangkap 7 orang ahli PAS yang kebanyakannya duduk di barisan hadapan. Mereka yang ditahan ialah Mazlan Aliman (Ketua DPP Negeri Johor yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Senai), Faris Mohd Salleh (Setiausaha PAS Kawasan Senai yang juga Exco DPP Negeri Johor), Emran Kammin (Ketua DPP Senai), Soleh Ismail (AJK PAS Kawasan Senai), Abd Razak Mohamad (AJK DPP Senai), Jalil Bedu dan Johar Yusuf (Kedua-duanya ahli PAS Kawasan Gelang Patah). Sdr. Faris telah mendapat lebam di bawah dada kirinya kerana dihentak dengan belantan oleh salah seorang anggota polis. Walau bagaimanapun beliau menganggap itu sebagai suatu yang kecil kerana menurutnya musuh sebenar PAS bukan anggota polis yang terpaksa menjadi orang suruhan. Baginya musuh sebenar PAS ialah UMNO dan BN.

Mereka semua kemudiannya di bawa ke Balai Polis Kulai dengan kenderaan polis. Para penyokong BA berkumpul di luar balai sambil melambai-lambai tangan kepada mereka yang ditahan. Kira-kira jam 12.00 malam, Faris, Emran dan Soleh telah di lokap di Balai Polis Kulai sementara Mazlan, Abd Razak, Jalil dan Johar telah dilokap di Balai Polis Skudai. Mereka semua telah dibebaskan keesokan harinya kira-kira jam 2.00 petang selepas dijamin oleh rakan-rakan. Apa yang dilakukan oleh pihak polis tidak sedikitpun melemahkan semangat ahli-ahli PAS untuk meneruskan program mereka.

Pada malam yang sama dengan tangkapan di Taman Anjaria, Sdr Salahuddin Ayiub (Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat) dan Hjh Kalthom (Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat) juga di tahan polis. Mereka telah berceramah di Markas PAS Sungai Benut, Pontian. Polis dikatakan telah merempuh masuk ke dalam markas di mana program sedang dijalankan. Pihak penganjur amat kesal dengan sikap polis yang bertindak melampaui batas walaupun mereka telah cuba mematuhi arahan polis agar ceramah dilakukan di dalam markas.

Setakat ini sudah 25 tangkapan dibuat di Kawasan Senai (Mazlan Aliman - 2 kali lokap, Faris Salleh - 1 tahanan 1 lokap, Aminuddin Ayiub - 1 tahanan 1 lokap + 1 tahanan di Batu Pahat, Emran Kammin - 1 tahanan 1 lokap, Soleh Ismail - 1 tahanan 1 lokap, Abd Razak Mohamad - 1 lokap, lain-lain - sekali tahanan sahaja). Untuk seluruh negeri Johor, polis telah membuat 47 tangkapan ke atas program PAS. Dalam jumlah tersebut, 5 daripadanya adalah penceramah.

Kembali