Make your own free website on Tripod.com

Jamuan Rakyat anjuran DPPNJ berjaya

Batu Pahat, 29 Julai, 2001

YAB Tuan Guru Hj Abd Hadi sedang memberikan ucapannya
Sebahagian kecil daripada hadirin yang datang sambil menderma

YAB Menteri Besar meninggalkan khemah jamuan

Jamuan Rakyat anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) telah berjaya menarik jumlah hadirin yang ramai di perkarangan Bangunan Pentadbiran Badan Perhubungan PAS Johor di sini. Program ini bertujuan untuk mengumpulkan dana untuk pejabat Dewan Pemuda PAS Negeri Johor. Program yang bermula jam 12.30 tengahari telah dimulakan dengan ucapan Ketua DPPNJ, Sdr. Mazlan Aliman.

YAB Dato Sri Tuan Guru Hj Abd Hadi di dalam ucapannya menyatakan bahawa tidak ada suatu kerajaan pun, samada kerajaan yang baik atau kerajaan yang jahat,  yang kekal di atas muka bumi ini. Oleh kerana itu, katanya, semua ahli PAS dan BA hendaklah bersabar menanti saat kemenangan itu dan terus bersungguh-sungguh bekerja bagi mencapai kemenangan.

Di dalam majlis itu, YAB Tuan Guru Hj Abd Hadi telah menerima 2 keping geran sumbangan tanah  untuk PAS Johor dari dua orang muslimat yang setiap satunya seluas 3.25 ekar dan terletak di dua tempat berasingan di Batu Pahat. Kedua-dua tanah tersebut terletak di lokasi yang strategik dan mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Para hadirin kemudiannya dihidangkan dengan hidangan nasi minyak yang semuanya disumbangkan oleh beberapa orang ahli PAS. Timbalan Ketua Polis Batu Pahat, Tuan Ishak, turut dijemput makan bersama YAB Tuan Guru tetapi telah menolak pelawaan tersebut kerana beliau sedang dalam tugas. Selepas jamuan para hadirin dan Timbalan Ketua Polis Batu Pahat telah mengambil peluang bersalam dengan Menteri Besar Terengganu.

Sebelum berangkat pulang, YAB Menteri Besar Terengganu telah mengambil sedikit masa untuk melawat Pejabat Dewan Pemuda PAS Negeri Johor yang sepatutnya telah dirasmikan oleh beliau beberapa bulan sebelumnya. Walau bagaimanapun beliau tidak dapat hadir kerana kemangkatan kerabat terdekat Sultan Terengganu dan majlis perasmiannya telah diwakilkan kepada Pesuruhjaya PAS Johor, Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok.

Sebelumnya. YAB Tuang Guru Hj Abd Hadi telah berdialog dengan pelbagai kaum di dalam program Dialog Antara Kaum anjuran DPPNJ di Hotel Novo, Batu Pahat. Dialog tersebut berkisar mengenai konsep negara yang ingin dibawa oleh PAS. Pada malam sebelumya pula, YAB Tuan Guru telah berceramah di Kampung Tenang , Labis. Walau bagaimanapun, beliau hanya dibenarkan berceramah selama 15 minit oleh pihak polis yang telah mengepung kawasan tempat ceramah itu.

Kembali