Make your own free website on Tripod.com

Dialog antara kaum bersama MB Terengganu

Batu Pahat, 29 Julai, 2001

Ketibaan YAB Dato' Sri Hj Abd Hadi Awang di Hotel Novo
YAB Tuan Guru MB Terengganu memberikan ucapan dan penerangan
Salah seorang daripada masyarakat Cina yang mengemukakan soalan
Syed Hamid, seorang aktivis NGO turut mengemukakan pandangan dan soalan

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor sekali lagi menempa kejayaan apabila program Dialog antara kaum bersama MB Terengganu mendapat sambutan dari masyarakat pelbagai kaum, terutama dari masyarakat Cina. Isi kandungan dialog tersebut juga dianggap sebagai suatu penerangan yang luar biasa dan amat dialu-alukan oleh semua yang hadir. Antara perkara pertama yang disentuh Tuan Guru Hj Abd Hadi ialah mengenai tuduhan pemimpin BN bahawa Barisan Alternatif sedang berpecah. Menurut Hj Hadi, perbezaan pendapat di dalam suatu kerjasama adalah perkara yang lumrah. Apa yang lebih jelas ialah perpecahan dalaman yang serius di dalam setiap parti komponen Barisan Nasional seperti yang berlaku kepada MCA.

Menurutnya lagi PAS memang menyedari bahawa suasana di Malaysia memerlukan kerjasama daripada kaum bukan Islam untuk mengambil alih kerajaan. Oleh kerana itu semua parti di dalam BA lebih menumpukan kepada perkara yang disepakati bersama iaitu menjatuhkan kerajaan BN.

Mengenai undang-undang yang ingin diketengahkan oleh PAS yang ditentang oleh BN, Hj Hadi menyatakan bahawa undang-undang yang digunakan sekarang adalah undang-undang Inggeris yang tidak mengambil kira tentang masyarakat setempat. Amat menghairankan apabila PAS mengemukakan undang-undang Islam, yang lebih hampir kepada masyarakat setempat, ia ditolak oleh BN. Undang-undang Islam telah terbukti berjaya dan terlaksana hampir diseluruh dunia   tanpa mengenepikan kepentingan kaum-kaum lain suatu masa dahulu. Sebagai buktinya, Islam pernah menguasai Mesir dan sehingga hari ini masih terdapat gereja kristian orthodox yang telah wujud di zaman pemerintahan Islam. Begitu juga yang berlaku di Parsi di mana masih ada biara penyembahan api yang masih menyala sehingga ke hari ini. Islam yang juga pernah berkuasa di Tanah Jawa tidak merobohkan candi Borobodor yang masih boleh dilihat hingga ke hari ini .

Undang-undang dan peraturan hari ini nyata begitu lemah apabila terdapat 4 buah mahkamah di Malaysia. Mahkamah tersebut ialah mahkamah sivil, mahkamah syariah, mahkamah ISA (menghukum tanpa bicara) dan mahkamah UMNO (perasuah hanya diambil tindakan oleh jawatankuasa tatatertib UMNO tetapi terlepas dari mahkamah sivil).

Beberapa soalan juga telah dijawab dengan baik ole Menteri Besar Terengganu itu. Mengenai budaya, Islam mengambil mana-mana budaya yang baik dari mana-mana kaum dan menolak budaya yang tidak baik walaupun ianya datang dari kaum Melayu atau Arab. Contohnya, Islam menghapuskan adat mengorbankan ratu cantik yang terpilih untuk Sungai Nil di Mesir. Adat membakar sama balu yang kematian suami bersama mayat suaminya di India turut dihapuskan. Budaya Parsi yang menggunakan sistem gaji berdasarkan kepakaran dan tempoh perekhidmatan telah ditiru oleh kerajaan Islam. Mengenai menjawab salam orang bukan Islam, Hj Hadi menjawab umat Islam diharuskan menjawabnya asalkan salam yang diberi oleh orang bukan Islam itu bukan bertujuan mempersendakan Islam.

Menjawab pertanyaan mengenai ahli bersekutu PAS dari kalangan bukan Islam, Hj Hadi menyatakan bahawa PAS tidak berhasrat mewujudkannya setakat ini kerana masyarakat bukan Islam yang menyokong PAS boleh menyertai lain-lain parti di dalam BA, seperti ADIL danm DAP, yang membuka keahliannya kepada bukan Islam. Dengan cara ini, parti-parti BA tidak perlu berebut-rebut mendapatkan ahli.

Menjawab satu lagi pertanyaan, YAB Hj. Hadi menyatakan bahawa di dalam usaha PAS menegakkan undang-undang Islam memang PAS memerlukan sokongan parti-parti lain. Proses yang diambil akan dimulakan dengan menumbangkan kerajaan sedia ada terlebih dahulu. Keduanya, majoriti 2/3 perlu diperolehi dengan kerjasama parti-parti di dalam pakatan BA. Ketiganya, walaupun PAS tak mungkin menguasai semua negeri, kerajaan BA yang dapat dibentuk tentunya akan mengizinkan PAS melaksanakan undang-undang Islam di negeri-negrei yang dimenangi oleh PAS bagi dijadikan model pemerintahan Islam sebenar.

Selain itu, Hj Hadi mengulangi pendirian PAS bahawa ia akan tetap mengambil kira masyarakat bukan Islam di dalam pemerintahannya walaupun PAS boleh menang tanpa bantuan masyarakat bukan Islam. Sebagai bukti di Kelantan dan Terengganu, kerajaan telah melantik wakil-wakil bukan Islam untuk duduk di dalam ahli Majlis Daerah dan juga Jawatankuasa Syura Rakyat.

Kembali