Labis, 28 Julai, 2001
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor dianggap telah berjaya mengadakan program perdana yang mendatangkan YAB Dato' Sri Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang ke Kampung Tenang, Labis. Program penuh hari tersebut dimulakan dengan pelbagai acara sempena pelancaran Jubli Emas Peringkat PAS Negeri Johor. Sambutan terhadap semua acara adalah amat membanggakan. Dari sudut persiapan, PAS Kawasan Labis telah melakukan tugas yang amat cemerlang. Semua petugas persiapan telah membuat persediaan yang rapi dari segenap sudut bagi menghadapi program besar yang tidak diberi permit oleh pihak polis itu. Tempat yang dipilih amat strategik dari sudut keselamatan kerana ianya diadakan di sebuah ladang getah yang telah dibersihkan. Menurut setengah orang ia kelihatan seperti kawasan di Bukit Jenalek. Semua jalan masuk ke tapak ceramah telah ditutup dengan kenderaan-kenderaan seawalnya bagi menghalang kenderaan polis dan FRU dari memasuki kawasan tersebut.
![]() |
Kawasan meletak kereta di jalan masuk. Kelihatan ialah Bas Kerajaan Kelantan yang membawa rombongan dikir barat |
![]() |
Gerai-gerai di sekeliling kawasan tapak program ceramah |
![]() |
Sebahagian kecil hadirin yang bersama bersolat hajat diimami YAB Hj Abd Hadi |
4 trak FRU dan sebuah trak water cannon telah dilihat bersiap sedia di Balai Polis Labis. Lebih daripada 150 Anggota FRU dan anggota polis lain telah memasuki kawasan tapak ceramah dengan berjalan kaki kerana trak mereka gagal memasuki kawasan tersebut. Petugas keselamatan telah didatangkan dari seluruh kawasan di Johor. Kawasan Senai telah menghantar 20 orang petugas yang sebahagiannya telah sampai sebelum zohor. Semua petugas-petugas keselamatan yang majoritinya dari kalangan Dewan Pemuda telah diberi taklimat mengenai aspek keselamatan sebelum maghrib lagi. Mereka kemudiannya melaksanakan solat maghrib dan isyak secara berjamaah di tapak ceramah dengan dikawal di sekeliling mereka oleh pasukan polis dan FRU.
Selepas solat Isyak, YAB Tuan Guru Hj Abd Hadi tiba di tapak ceramah dengan dikawal ketat oleh berpuluh-puluh petugas keselamatan. Beliau kemudiannya mengimami solat hajat di pentas ceramah yang diikuti oleh beratus-ratus ahli dan penyokong PAS. Petugas-petugas keselamatan PAS telah membuat kubu dengan membina rantaian manusia (human-chain) sehingga 3 lapisan bagi menghalang kemungkinan asakan oleh pasukan polis. Di dalam munajatnya, Tuan Guru Hj. Abd Hadi telah membaca do'a yang agak panjang dan menyentuh perasaan para hadirin yang beransur-ansur memenuhi kawasan tersebut. Kehadiran hadirin agak perlahan kerana pihak polis telah mengadakan sekatan jalanraya di jalan utama ke kawasan program.
YAB Tuan Guru kemudiannya dibawa masuk ke dalam rumah yang menjadi markas program tersebut. Rumah tersebut dikawal ketat oleh petugas-petugas keselamatan PAS. Pihak polis telah menghantar 2 wakilnya untuk bertemu dengan YAB Tuan Guru. Mereka akhirnya dibenarkan bertemu dengan YAB Tuan Guru selepas beliau sendiri memberi keizinan kepada 2 orang pegawai tersebut. Dalam perbincangan mereka, pihak polis hanya memberi masa 15 minit untuk beliau menyampaikan ceramahnya.
Kira-kira jam 9.30 malam, para petugas sekali lagi membuat rantaian manusia sebagai kubu mengelilingi pentas ceramah dan tempat duduk pimpinan PAS Negeri. Hampir di semua bahagian terdapat 4 lapisan rantaian manusia yang dilihat begitu kukuh dan mampu menghalang sebarang cubaan menggagalkan ceramah tersebut. Sdr. Mazlan Aliman, selaku pengarah program dan juga Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, telah membuka tirai ucapan dengan menceritakan perkembangan yang berlaku kepada PAS sejak akhir-akhir ini. Beliau kemudiannya mempersilakan Us. Razali Jamil Al-Hafiz untuk membacakan ayat suci al-Qur'an. Bacaan tersebut mengambil masa kira-kira 15 minit. Selepas bacaan al-Qur'an, derma jihad telah dilancarkan dengan diiringi alunan selawat selama 15 minit yang turut diikuti oleh orang ramai.
Majlis kemudiannya diperdengarkan dengan ucapan yang cukup menarik dan padat oleh Tuan Guru. Di dalam ucapannya beliau menyatakan walaupun masa yang diberikan kepada PAS hanya 15 mini, kesannya akan kekal selama 15 tahun. Beliau mengingatkan hadirin bahawa lawan PAS bukannya polis, tetapi lawan sebenar PAS ialah UMNO dan Barisan Nasional. Apa yang dilakukan oleh pihak polis terhadap program PAS sebenarnya tidak menggambarkan kekuatan UMNO, sebaliknya ia menandakan UMNO yang semakin lemah sehingga terpaksa menggunakan polis bagi berdepan dengan PAS Beliau turut mengingatkan bahawa di Indonesia Gusdur Suharto pernah menggunakan polis dan tentera untuk menyelamatkan dirinya, tetapi kesudahannya polis dan tentera jugalah yang telah memaksa Suharto meletakkan jawatannya.
Begitu juga nasib yang menimpa Gusdur. Gusdur telah mengarahkan pihak tentera dan polis untuk melaksanakan dharurat, tetapi tidak diendahkan oleh mereka sehingga memaksa Gusdur untuk berundur. YAB Tuan Guru Menteri Besar Terengganu itu menekankan, kalau Gusdur boleh berundur di Indonesia, tidak mustahil "GusDIR" akan mengalami nasib yang sama di Malaysia. Para hadirin melaungkan takbir menyambut ucapan tersebut.
Selepas 15 minit YAB Tuan Guru telah menamatkan ucapannya dan menyambung pula dengan do'a yang panjang. Do'a yang dibaca di dalam bahasa Arab dan diselang-selikan dengan terjemahannya itu diaminkan dengan penuh khusyuk oleh para hadirin dan petugas-petugas keselamatan. Sebahagian anggota polis juga dilihat menadahkan tangan bersama-sama do'a tersebut. Selepas YAB Tuan Guru Hj Abd Hadi menamatkan do'anya, Pesuruhjaya PAS Johor, Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok pula berucap kira-kira 15 minit bagi mengucapkan penghargaan kepada semua petugas, Dewan Pemuda PAS Negeri dan juga PAS Kawasan Labis.
Tamat saja ucapan tersebut, Sdr. Mazlan bertanya para hadirin adakah perhimpunan pada malam itu aman dan dijawab serentak oleh para hadirin "AMAN!!!". Pihak polis kemudian meminta para hadirin beredar kira-kira jam 11.00 malam. Sebahagian besar para hadirin bersalaman dengan anggota-anggota polis tersebut semasa berjalan meninggalkan tapak program.