Make your own free website on Tripod.com

Ketua Polis Johor tinggalkan meja rundingan

Johor Bahru, 27 Julai, 2001.

Seperti yang dijadualkan, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ)  telah datang ke Ibu Pejabat Polis Kotinjen Johor untuk bertemu dan menyampaikan memorandum mengenai kesukaran mendapatkan permit untuk mengadakan ceramah. Hanya 2 orang wakil DPPNJ yang dibenarkan menemui Ketua Polis Johor, Dato' Kamaruddin Ismail, dan wakil-wakil yang lain, termasuk pemberita, tidak dibenarkan turut sama.

Menurut Ketua dan Timbalan Ketua DPPNJ, Saudara Mazlan Aliman dan Sdr Dzulkifli Ahmad, yang diberi kebenaran menemui Dato' Kamarudin, mereka telah berhadapan dengan 7 orang pegawai tertinggi Polis Negeri Johor dan beberapa orang lagi anggota polis yang lain di dalam sebuah bilik. Apabila Sdr. Mazlan meminta pihak polis menimbangkan keadaan di mana kerajaan menggunakan semua saluran media untuk menyerang PAS sedangkan PAS dinafikan hak untuk mengadakan ceramahnya, pihak polis menjawab, "Awak tunggulah awak jadi kerajaan nanti untuk ubah keadaan sekarang". Sdr. Dzulkifli turut memberi komen, beberapa kali beliau berceramah yang tidak dihadiri pihak polis, ceramah dapat berjalan dalam keadaan aman sehingga akhir. Kekacauan hanya berlaku apabila polis mula mengganggu ceramah-ceramah yang diadakan oleh PAS. Antara yang banyak bercakap ialah Abu Bakar Said (Ketua Polis Daerah Johor Bahru) dan Ketua Polis Johor. Apabila wakil DPPNJ tidak berpeluang bercakap kerana mendengar komen dan ucapan pegawai-pegawai tersebut, Sdr. Dzulkifli mencelah "Tuan Abu Bakar, I dah dengar you bercakap. Sekarang you bagi peluang pula untuk I bercakap". Sedang Sdr. Dzulkifli bercakap, pegawai-pegawai tersebut telah meninggalkan bilik tersebut sehingga perbincangan tidak dapat dilakukan sehingga selesai.

Abu Bakar Said adalah antara saksi yang dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Majistret Johor Baharu pada hari sebelumnya mengenai kes ceramah Maulidurrasul anjuran PAS Gelang Patah yang tidak mendapat permit polis. Antara hujah yang dikemukan oleh peguam Sdr. Dzulkifli (tertuduh), Sdr. Norman Fernandez, sepatutnya pihak polis memberikan permit untuk setiap ceramah terlebih dahulu dengan dikenakan beberapa syarat dan membuat penilaian samada ceramah boleh diteruskan atau tidak apabila ceramah sudah berjalan. Selama ini pihak polis hanya menggunakan alasan "keselamatan" untuk tidak membenarkan parti pembangkang mengadakan ceramah.

Menurut Sdr. Mazlan Aliman, tiada gunanya berunding dengan ketua-ketua polis daerah kalau Ketua Polis Johor sendiri telah menutup ruang perbincangan. Selama hari ini, belum ada rayuan yang diluluskan oleh Ketua polis Johor apabila ketua polis daerah menolak permohonan sesuatu ceramah.

Dalam perkembangan lain, polis Daerah Segamat telah memberi amaran keras akan mengambil tindakan tegas bagi menggagalkan ceramah Dato' Sri Tuan Guru Hj. Abd Hadi di Kampung Tenang, Labis. Sementara itu di Batu Pahat, polis daerah  telah menemui pengurus hotel dimana Dialog Antara Kaum bersama YAB Dato' Sri Hj. Abdul Hadi Awang dijadualkan diadakan secara tertutup pada 29 Julai 2001. Pelbagai persoalan ditimbulkan termasuk soal permit untuk dialog tersebut.

Kembali