Ladang Ahli-ahli UMNO Dimusnah

Bukit Ramun, 26 Jun, 2001. 

Nasib 300 ahli keluarga anak peneroka Felda Bukit Ramun, Kulai, kini semakin tidak menentu apabila usaha mereka selama tiga tahun telah dimusnahkan oleh kakitangan Pejabat Tanah, JPS dan PTG. Menurut salah seorang mangsa, Encik Ahmad Kalil, gerakan memusnahkan tanaman mereka telah dilakukan awal pagi dengan diawasi oleh pasukan polis. Kebanyakan tanaman yang dimusnahkan adalah dari jenis tanaman kontan seperti pisang, labu, keledek, serai dan juga beberapa tanaman lain seperti durian, rambutan, ciku dan lain-lain. Tidak cukup dengan itu, hasil tanaman yang tinggal sebahagiannya telah dicincang dan pondok-pondok mereka telah dirobohkan. Menurutnya lagi, ada juga hasil yang ditebang telah diambil oleh mereka yang terlibat dalam gerakan memusnah itu.

Peristiwa menyedihkan berlaku tatkala masyarakat peneroka sedang dihimpit kemiskinan dan kesusahan. Harga kelapa sawit yang begitu teruk mengakibatkan kehidupan mereka begitu terhimpit. Tidak hairanlah apabila terdapat ramai penghuni rumah di Felda terpaksa dipotong bekalan elektrik mereka kerana tidak mampu membayar bil bulanan mereka.

Bagi membantu kehidupan mereka yang sering kesempitan beberapa orang dari kalangan masyarakat Felda Bukit Ramun yang kebanyakannya adalah anak-anakpeneroka telah mengusahakan projek tanaman kontan sejak tiga tahun yang lalu. Projek ini telah dijalankan oleh 113 orang, yang kebanyakannya adalah ahli UMNO, di atas tanah milik kerajaan yang sudah terbiar lama kerana ia adalah kawasan yang sering ditenggelami air. Usaha mereka meneroka tanah tersebut telah disokong oleh Hj.Adam Hamid, wakil rakyat DUN Bukit Permai, sebelum pilihanraya umum 1999. Beliau memberi jaminan bahawa usaha tersebut akan diberikan perhatian dan sokongan termasuk dari pejabat menteri besar sendiri.

Hasil dari janji tersebut, anak-anak peneroka telah mula mengusahakan tanah tersebut sejak tiga tahun yang lalu. Kawasan yang dahulunya ditenggelami air dan najis babi dari ladang ternakan khinzir yang berhampiran telah dibersihkan. Tugas getir mereka yang pertama ialah membina saliran dengan tulang empat kerat mereka dan hasilnya kawasan tersebut sudah selamat dari ditenggelami air. Mereka yang terlibat kemudiannya telah mengeluarkan belanja yang agak besar untuk menyewa jentolak dan jentera pengorek bagi membersihkan tanah dan membina saliran yang lebih baik. Hasilnya, mereka boleh berbangga dengan hasil tanaman kontan yang dihasilkan yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan mereka.

Dalam masa yang sama, para pengusaha projek melalui jawatankuasanya telah mengemukakan permohonan tanah tersebut yang seluas 113 ekar untuk 113 peserta projek tersebut. Surat sokongan dari pejabat menteri besar telah beberapa kali diajukan ke pejabat Tanah Kota Tinggi agar permohonan peserta-peserta projek tersebut dipertimbangkan. Malangnya, usaha mereka itu seperti tidak diendahkan apabila mereka sering menerima notis agar menghentikan pencerobohan tanah tersebut.

Menurut salah seorang ahli jawatankuasa projek tersebut, Encik Abd Hamid Abdullah, beliau telah beberapakali ke Pejabat Tanah Kota Tinggi atas urusan tersebut dan diberitahu bahawa masalah mereka telah diserahkan kepada wakil rakyat untuk membuat kata putus. Encik Abd Hamid telah membuat temujanji untuk bertemu dengan Hj. Adam Hamid untuk perbincangan lanjut dan telah diberi tarikh pada 6 Julai 2001. Menurutnya, pegawai yang terlibat memusnahkan tanaman mereka memberitahu bahawa Hj. Adam Hamid telah mengizinkan agar tindakan diambiloleh jabatan-jabatan yang terlibat.

Kebanyakan pengusaha tanah tersebut mengalami kerugian yang besar kerana tanah terbiar itu baru menampakkan hasilnya setelah pelbagai usaha dibuat untuk memajukannya. Mereka berikrar akan meninggalkan UMNO beramai-ramai dan menyertai PAS. Ahli-ahli PAS yang diketuai oleh Setiausaha PAS Kawasan Senai telah turun ke tempat kejadian bagi menemui mangsa-mangsa yang sedang berang itu. Serentak dengan itu mereka telah memacak bendera PAS di tanah tersebut sebagai tanda kemarahan mereka kepada UMNO.
 


En. Nazri Mohd Yusuf - "Semuanya musnah"


Pisang muda turut dicincang

Klik untuk gambar-gambar lain
Kembali