ISLAM - Perbezaan UMNO dengan PAS

us-ghani-arahman.jpg (5484 bytes)

Felda Inas, 26 Mei, 2001.

Us. Ghani Abd Rahman, AJK PAS Pusat, telah menjelaskan kekeliruan dan menjawab tuduhan yang sering dilemparkan UMNO terhadap PAS. Penjelasan ini dibuat di dalam ceramahnya di Felda Inas di hadapan peneroka-peneroka dan juga pihak polis dan FRU yang agak ramai bilangannya.

Ramai ahli UMNO yang salah faham mengenai Islam yang difahami PAS. Mereka beranggapan PAS mempertikaikan UMNO dari sudut sembahyang, puasa atau ibadah-ibadah khusus yang lain. Sebenarnya PAS tidak pernah mempertikaikan benar atau salahnya ibadah orang UMNO. Apa yang dipertikaikan oleh PAS ialah kefahaman UMNO mengenai Islam hanya untuk menjadikan seseorang itu baik secara individu. Sebab itu penekanan yang diberikan UMNO di dalam mengajar mengenai Islam di masjid-masjid, hanya berkaitan soal fardhu-ain sahaja. UMNO cuba menlarang kefahaman mengenai pentingnya masyarakat dan negara Islam itu diwujudkan.

Us. Ghani juga menjelaskan akibat kiranya hanya individu-ndividu di dalam negara sahaja yang Islam sedangkan negaranya tidak Islam. Antaranya ialah, negara telah menukarkan Jumaat kepada Ahad sebagai hari cuti. Sistem pendidikan negara juga menjadi bercanggah apabila prasangka berlaku antara pencinta sekolah Inggeris dengan sekolah Agama. Ini termasuk soal masa depan pelajar yang ditentukan oleh negara tersebut yang lebih cenderung memberi kelebihan kepada lepasan sekolah Inggeris. Selain itu juga, subjek agama disama-tarafkan dengan subjek lukisan atau lain-lain subjek elektif yang boleh diambil atau ditinggalkan. Kesan lain yang ketara ialah penghapusan tulisan jawi dari keutamaan pendidikan dan pentadbiran.

Dari sudut sosialnya pula, TV memainkan peranan utama merosakkan akhlak remaja apabila tayangan tidak berakhlak dipertontonkan oleh negara, sedangkan masa bersama ibubapa amat terbatas akibat kesibukan mencari nafkah hidup. Akibatnya, kejadian sumbang sehingga kes pembuangan bayi dilakukan dengan tiada rasa takut kepada Allah. Selain itu program yang sesuai dan digemari masyarakat Islam, seperti rancangan kuiz "Who wants to be a millionare", ditayangkan pada waktu yang tidak sesuai, seperti waktu maghrib, di mana umat Islam sepatutnya memakmurkan  masjid dan surau diwaktu tersebut.

Us. Ghani juga menerangkan bahawa sekiranya soal kemajuan pembangunan menjadi soal utama manusia dijadikan, maka sudah tentu Rasulullah tidak diutuskan ke dunia ini. Ini adalah kerana manusia sudah mampu membina kemajuan walaupun sebelum Rasulullah diutuskan lagi. Sebagai buktinya, orang-orang jahiliyah sudah pandai melaksanakan pertanian yang maju, membina rumah dan bangunan yang hebat dan mencari kekayaan yang banyak. Rasulullah tidak perlu mengajar manusia untuk mengejar itu semua. Tetapi, tujuan Rasulullah dibangkitkan ialah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Usaha mengejar pembangunan dan kekayaan yang tidak disertai dengan akhlak Islam akan membawa kehancuran sesebuah masyarakat dan negara. Sebagai contohnya, apabila umat Islam tidak lagi mengambil peduli tentang akhlak hamba kepada Allah, manusia tidak lagi mengambil berat soal suruhan dan larangan Allah semasa mengejar kemajuan hidup. Akibatnya, masyarakat hari ini lebih menghukum orang yang memberi rasuah sedangkan penerima rasuah sering terlepas. Orang yang mahu menang dan menjadi pemimpin menggunakan wang dan kedudukan untuk meraih sokongan. Selain itu, mereka juga menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menindas dan menzalimi orang-orang yang tidak sealiran dengan mereka. Ini jelas dilakukan oleh pemimpin UMNO apabila ISA digunakan sewenang-wenangnya untuk menangkap musuh-musuh politik mereka.

Kembali