Make your own free website on Tripod.com

Setiausaha PAS Senai ditangkap di Sri Gading

Sri Gading, 25 Ogos, 2001

Sdr. Mohd Fariz Mohd Salleh, Setiausaha PAS Kawasan Senai, telah ditangkap selepas berceramah di Markas PAS Kawasan Sri Gading, Batu Pahat di dalam serentak di 20 kawasan di Negeri Johor. Beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Johor telah diminta memberhentikan ceramahnya oleh DSP Zaki selepas setengah jam ceramah beliau bermula. Walau bagaimanapun beliau mempersoalkan tindakan polis itu kerana ceramah didadakan di dalam premis PAS yang berpagar. Beliau seterusnya menyatakan bahawa beliau hanya akan memberhentikan ceramahnya tepat jam 11.30 malam.

Kira-kira 300 orang yang hadir tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing walaupun polis yang lengkap berpakaian ala FRU telah mengepung kawasan tersebut. Tepat jam 11.30 malam Sdr Fariz memberhentikan ceramahnya dan pihak penganjur telah mengunci dan menutup semua lampu markas tersebut. Arahan polis yang meminta penceramah dan pengerusi ke balai tidak diendahkan.

Polis telah mengepung markas tersebut kira-kira sejam dan mengugut akan memotong grill markas sekiranya pihak penganjur tidak menyerahkan penceramah dan pengerusi majlis pada malam itu kepada pihak polis. Setelah berbincang, akhirnya pihak penganjur membenarkan kedua-dua orang tersebut dibawa ke Balai Polis Sri Gading. Sebelum itu, polis telah menahan dua orang petugas yang menjaga pintu belakang markas. Polis juga telah merampas dua buah pembesar suara, dua buah microphone, sebuah hi-fi, sebuah mic-floor-stand dan sebuah rostrum. Selain itu, polis juga telah menyita sebuah kenderaan proton wira yang telah diletakkan di bahagian dalam pintu masuk ke markas. Orang ramai mempertikaikan tindakan polis itu kerana kenderaan tersebut berada di dalam kawasan pagar markas. Difahamkan, pemilik kenderaan tersebut dinasihatkan agar menyaman polis dan syarikat kereta tunda yang telah menyita kenderaan tersebut.

Mereka yang telah dibawa ke Balai Polis Sri Gading ialah Sdr Fariz (penceramah), Sdr Tajuddin Baba (pengerusi - beliau adalah abang kepada Dr. Adham Baba, Ketua Pemuda UMNO Senai), Sdr. Rosli dan Sdr Arbain. Keempat-empat mereka telah dibawa ke Balai Polis Sri Gading dan kemudiannya di bawa ke Balai Polis Batu Pahat di mana 33 orang yang lain yang di tahan di Sri Medan, Parit Sulong sedang diambil keterangannya.

Kembali