PAS ucap tahniah kepada UMNO Senai

Senai, 22 Mei, 2001.

Setiausaha PAS Kawasan Senai, Sdr. Mohd Faridz Mohd Salleh mengucapkan tahniah kepada UMNO Bahagian Senai, terutamanya kepada Dr. Adham Baba, kerana menyahut saranan dan cabaran PAS supaya mengadakan ceramah selepas setiap ceramah BA di tempat yang sama di mana BA telah mengadakan ceramahnya. PAS mengharapkan tindakan bersaing secara tidak sihat dan tidak professional di dalam medan politik seperti yang diamalkan oleh UMNO selama ini segera dihentikan, sebaliknya mengambil pendekatan professional untuk menyaingi pihak lawan. Sekiranya UMNO merasa tercabar dengan ceramah yang di adakan oleh BA, UMNO boleh mengadakan ceramah sebanyak dan sekerap mungkin bagi menjawab segala isu yang diketengahkan oleh BA. Sebelum ini Ketua Pemuda UMNO Senai yang juga Exco Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Adham Baba, telah ditangkap oleh petugas PAS semasa mengoyakkan poster ceramah PAS.

Uacapan tahniah tersebut disampaikan oleh Setiausaha PAS Kawasan Senai berikutan ceramah yang akan diadakan oleh UMNO Bahagian Senai pada 22 dan 23 Mei ini. Ceramah UMNO pada 22 Mei akan diadakan di Dewan Raya Taman Manis jam 9.00 malam, sementara ceramah pada 23 Mei akan diadakan di Dataran Pasar Lambak Felda Bukit Besar. Kedua-dua tempat ini merupakan tempat ceramah PAS pada 19 dan 20 Mei lalu. Pada 19 Mei, PAS mengadakan Forum Perdana bersama Dato' Ishak Bahrom (Bekas Mufti Selangor), Us. Abdullah Husin (Ketua Dewan Ulamak PAS) dan Us. Razalai Jamil Al-Hafiz (Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Johor). Menurut maklumat yang diterima mereka akan menggunakan khidmat Md. Nor Md. Deris (bekas AJK Ulamak PAS Kelantan) dan Azmi Mazhar Ishak (Bekas Pegawai MAIK). Md Nor Md Deris merupakan orang yang sering mengkafirkan UMNO semasa beliau berada di dalam PAS.

PAS Kawasan Senai tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya ahli-ahlinya ingin ke ceramah tersebut bahkan menggalakkan ahli-ahli PAS setempat menghadirinya bagi mendengar hujah pihak lawan. Walau bagaimanapun PAS optimis bahawa UMNO hanya mampu menyampaikan cerita lama yang sudah basi yang kebanyakannya hanya berupakan tuduhan dan serangan peribadi yang tidak berasas. PAS Kawasan Senai juga bersedia bila-bila masa untuk menjawab tuduhan yang bakal dilemparkan.


Keratan surat PAS Senai kepada UMNO

Kembali