Make your own free website on Tripod.com

Memo kepada Ketua Polis Johor gagal disampaikan

Johor Bahru, 20 Julai, 2001.

Wakil KPJ menemui delegasi DPPNJ di tempat letak kereta

Sdr. Mazlan membaca isi kandungan memorandum kepada pemberita

Hasrat Dewan Pemuda PAS Negeri Johor untuk bertemu dan menyampaikan memorandum bantahan kepada Ketua Polis Negeri Johor, Dato' Kamaruddin Ismail, tidak kesampaian apabila Dato' Kamarudin tidak muncul untuk menerima memorandum. Beliau sebaliknya menghantar seorang pegawai bawahannya untuk menerima memorandum tersebut. Walau bagaimanapun Dewan Pemuda PAS Johor yang diketuai oleh ketuanya, Sdr. Mazlan Aliman, enggan menyampaikan memorandum tersebut melalui orang lain dan bercadang meminta tarikh lain untuk bertemu dengan Ketua Polis Johor. Dewan Pemuda PAS Johor menyatakan rasa kesalnya atas sikap Ketua Polis Johor yang enggan bertemu mereka walaupun surat permohonan temujanji telah dihantar awal dan tiada maklumbalas diterima.

Memorandum tersebut adalah untuk menyatakan bantahan atas sikap pihak polis yang akhir-akhir ini melakukan tindakan yang di luar batasan demokrasi yang ditetapkan oleh perlembagaan negara. Sejak akhir-akhir ini polis didapati semakin rakus dan ganas mengganggu dan menggagalkan ceramah-ceramah anjuran PAS sehingga berlaku insiden penangkapandan cubaan penangkapan pemimpin dan penceramah PAS. Pada 1 Julai, polis Johor Bahru cuba menangkap Dr. Hasan Ali dan Dr. Mariah di Taman Universiti Skudai tetapi berjaya digagalkan. Pada 12 Julai, 15 orang termasuk Pengarah Yayayasan Pembangunan Keluarga Terengganu telah ditangkap di Taman Aman, Senai. berikutnya ialah penangkapan Us. Abdullah Husin, Ketua Dewan Ulamak  PAS Johor, bersama 2 orang ahli PAS di Batu Pahat. Pada 16 Julai pula, Sdr. Dzulkifli Ahmad, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, di tangkap di Tanjung Kupang, Gelang Patah.

Sdr. Mazlan telah membacakan isi memorandum tersebut dan menjawab soalan-soalan wartawan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Johor di Jalan Tebrau. Antara lain Sdr. Mazlan ingin bertanyakan adakah sistem negara ingin diubah sehingga Akta Polis digunakan mengatasi perlembagaan. Dalam masa Dr. Mahathir melaungkan bahawa era pemerintahan beliau merupakan era yang aman, di tambah dengan pengakuan oleh pihak polis sendiri yang mengatakan tidak pernah berlaku suasana yang tidak aman di dalam ceramah-ceramah PAS, maka apa perlunya pihak polis bertindak menghalang ceramah-ceramah tersebut.

Pada insiden sebelumnya, Ketua Polis Johor juga enggan menemui wakil-wakil DAP yang ingin membuat pertemuan dengannya pada hari Sabtu walaupun mengikut jadualnya Hari Sabtu adalah hari di mana semua ketua-ketua jabatan peringkat negeri bertemu dengan orang ramai.

Kembali