UMNO memang tak mahu Islam

Kulai, 20 Mei, 2001.

Kenyataan Dr. Mahathir dari dahulu sehingga kini memang menunjukkan bukti yang jelas UMNO tidak senang dengan Islam. Perkara ini dijelaskan oleh YB. Us. Hashim Jasin, ADUN Sanglang, Perlis yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Perlis di dalam ceramahnya di Felda Bukit Besar. Di dalam ucapannya beliau menceritakan bahawa beliau terpaksa bekerja dengan Felda sehingga pencen walaupun banyak benda yang karut di dalam Felda. Sebaik saja beliau dibenarkan pencen, beliau terus meninggalkan kerusi Felda dan beralih ke kerusi PAS sehingga kini.

Beliau menyorot kenyataan Dr. Mahathir di dalam ucapannya semasa merasmikan Universiti Islam Antarabangsa yang menyebut sikap pentingkan ilmu agama untuk bekalan akhirat menyebabkan pelajar Melayu ketinggalan di dalam matapelajaran sains dan teknologi. Membidas kenyataan Mahathir, YB Us. Hashim Jasin membawa suatu ungkapan dari Imam Ghazali yang menyebut, "Orang-orang kristian jadi maju kerana meninggalkan agama, sebaliknya umat Islam menjadi mundur kerana meninggalkan agama". Menurutnya lagi, Mahathir tidak dapat menerima kenyataan kerana hatinya "berpenyakit" - berkarat dan tersumbat, dipengaruhi duniawi dan lalai mengenai akhirat.

Mengulas tindakan JKR menulis pada setiap papan projek kerajaan dengan meletakkan lambang BN, orang UMNO masih tak faham bahawa duit projek adalah datangnya dari semua rakyat termasuk ahli dan penyokong pembangkang. Tidak hairanlah katanya, masih ada lagi rakyat yang boleh diperbodohkan UMNO seperti yang berlaku di Perlis. Apabila muslimat PAS berkempen kepada seorang makcik, wanita itu berkata bahawa dia tak mahu menyokong BA sebab katanya kalau BA memerintah, kerajaan baru terpaksa buat sekolah baru, pejabat baru, padang baru dan jalanraya baru kerana yang sudah wujud adalah milik UMNO dan UMNO tak mungkin mahu menyerahkannya kepada BA.

Menurut Us. hashim lagi, umat Islam disuru menuntut 4 jenis ilmu iaitu 'Aqidah, Ibadah, Akhlak dan Kebudayaan (yang termasuk ilmu mengatur dan memajukan kehidupan manusia). 3 ilmu yang pertama itu wajib dipelajari dari guru yang diyakini di kalangan umat Islam sementara ilmu ke-4 boleh dipelajari daripada sesiapa, termasuk dari yang bukan Islam. Malangnya Mahathir hanya nampak kepentingan ilmu ke-4.

Us. hashim memberi contoh Nabi Sulaiman yang telah diberi 3 pilihan oleh Allah iaitu samada harta, kuasa atau ilmu. Lalu Nabi Sulaiman memilih ilmu sehingga ia Allah mengurniakannya ilmu memahami bahasa binatang. Dengan ilmunya itu ia beroleh juga kekayaan dan harta dan juga kekuasaan.

Menceritakan pengalamannya ke Perhimpunan Gerakan Islam Sedunia di Lubnan beliau menceritakan ucapan Syeikh Hassan Fadzlullah, pemimpin Hizbullah. "Apabila Israel berjaya mengalahkan Lubnan, Syria, Jordan, Libya dan Mesir, ramai orang berkata tentera Israel tidak boleh dikalahkan. Tetapi apabila kami mengkaji al-Qur'an dan Hadis, Israel berperang dengan cara orang penakut". Sejak dari itu Hizbullah telah menubuhkan skuad pemuda berani mati sehingga ramai pemuda Palestin yang teringin mati syahid. Dalam masa 3 bulan tentera Israel berjaya dihalau dari Lubnan dan mereka yang masih menunggu untuk syahid merancang untuk menganyang Tel Aviv dan berikrar melenyapkannya dalam tempoh 20 tahun yang akan datang.

Begitu juga halnya yang berlaku di malaysia apabila orang ramai lebih seronok pergi ke perhimpunan dan ceramah yang ada FRU dan gas pemedih mata. Perhimpunan yang tiada gangguan sudah menjadi yang kurang menarik bagi mereka kerana mereka sudah tidak takut dan lali dengan FRU dan gas pemedih mata.

Beliau juga menceritakan, ada seorang Cina telah membelanja orang-orang Islam di kampungnya kerana bersyukur Majlis Raja-Raja membenarkan perkataan Islam terus digunakan. Bagaimana UMNO yang mengaku Islam tidak senang dengan wujudnya label Islam.

Kembali