Pelajar cenderung PAS lebih berjaya

Felda Bukit Ramun, Kulai, 19 Julai, 2001.

idris-ahmad.jpg (7871 bytes)

Us Idris Ahmad

Bukti jelas menunjukkan pelajar-pelajar di semua pusat pengajian tinggi yang terlibat atau cenderung dengan PAS jauh lebih berjaya. Perkara ini disentuh oleh Us. Idris hj. Ahmad, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, di dalam ceramahnya di sini. Sebagai bukti nyata ialah apabila Dr. Mahathir mendedahkan bahawa sebahagian besar pensyarah dan kakitangan akademik di pusat-pusat pengajian tinggi cenderung kepada pembangkang. Begitu juga kenyataan yang dibuat oleh Ibrahim Ali yang menyebut kebanyakan jurutera dan golongan professional di dalam TNB, Telekom Malaysia, Petronas dan lain-lain agensi kerajaan adalah penyokong BA. Ini menunjukkan golongan yang telah berjaya ini adalah golongan yang mendapat kelulusan yang cemerlang. Sokongan dan kecenderungan mereka kepada BA hari ini merupakan suatu yang telah wujud sejak mereka belajar lagi. Sebaliknya pelajar-pelajar yang cenderung kepada UMNO kebanyakannya terlibat dengan gejala kerosakan moral yang akhirnya mendorong kepada kemerosotan di dalam pengajian mereka. Golongan ini, walaupun datang dengan membawa sijil UMNO dan sokongan UMNO, tidak diterima untuk menjadi pensyarah dan golongan professional di TNB, Telekom dan sebagainya kerana mereka tidak cukup kelayakan.

Pembohongan yang dilakukan oleh UMNO yang mengatakan pelajar yang menyokong pembangkang tidak akan diterima ke universiti tidak dapat diterima lagi. Sebagai contoh, Us. Idris dan ahli keluarganya diterima masuk ke universiti dan ditawarkan dengan pelbagai biasiswa walaupun ayah mereka orang kuat PAS. Tuduhan yang mengatakan pelajar yang cenderung kepada agama lebih mundur juga merupakan suatu fitnah. Dr. Mahathir lebih suka menghentam golongan yang cenderung kepada Islam tetapi tidak pernah mempertikaikan golongan yang terpengaruh dengan budaya rosak. Akibatnya kini wujud kumpulan-kumpulan haram seperti hip-hop, punk, black-metal dan nazi di kalangan pelajar yang kesemuanya menyesatkan dan menolak Tuhan. Walau bagaimanapun bagi UMNO budaya rosak ini tidak merisaukan mereka asalkan pelajar-pelajar ini tidak cenderung kepada PAS.

Us. Idris turut menolak pandangan yang mengatakan "kalau tak ada UMNO negara tak akan maju" sebagai suatu dongengan semata-mata. Contohnya, di Singapura, negara yang tidak wujud UMNO, negara tersebut mampu membina lebuhraya yang lebih baik, lapangan terbang yang lebih canggih, negara yang lebih bersih dan bebas dari rasuah. Pemimpin ikhlas tidak mungkin hidup di dalam UMNO kerana golongan ini akan menjadi golongan muflis. Pemimpin yang tinggal di dalam UMNO adalah golongan "naga berkepala tujuh" yang asyik meninjau dan mencari-cari peluang untuk memperkayakan dan memenuhkan perut-perut mereka daripda hasil milik negara.

Kebimbangan UMNO terhadap kebangkitan PAS begitu ketara apabila Dr. Mahathir sendiri menggunakan masa 1 jam 57 minit di dalam Perhimpunan Agong UMNO, yang disiarkan melalui TV ke seluruh negara, untuk menghentam PAS. Ini dilakukan supaya para perwakilan UMNO tidak punya ruang untuk mempersoalkan kepincangan kerajaan BN di dalam menyelesaikan isu negara seperti penggunaan wang tabung pencen untuk menyelamatkan Tajudin Ramli dan juga isu perletakan jawatan Daim Zainuddin. Tuduhan yang mengatakan PAS pengkhianat orang Melayu adalah helah UMNO sedangkan PAS tidak pernah memerintah Malaysia. Sebaliknya UMNO lah yang bertanggungjawab menjual tanah rizeb Melayu yang disediakan oleh penjajah British sebanyak 3 juta ekar. Pada tahun 1995, statistik menunjukkan 40% dari jumlah tersebut telah jatuh ke tangan orang bukan Melayu dan bangsa asing. UMNO jugalah yang bertanggungjawab meminda Pendidikan 1996 yang menghapuskan biasiswa untuk bumiputra.

Mengenai kenyataan Mahathir mengutamakan Bahasa Inggeris di dalam pusat pengajian juga merupakan suatu contoh yang menunjukkan UMNO yang mengkhianati Bahasa Melayu. Dulu, semasa UKM ditubuhkan, ramai berpendapat UKM tidak mungkin berjaya kerana menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pegantar. Tetapi hasilnya, semua kurus professional yang menggunakan Bahasa Melayu menunjukkan kejayaan apabila kesemua pelajar yang lulus ditawarkan untuk menyambung pengajian di England. Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka yang menelan belanja berjuta ringgit menterjemahkan bahasa sains dan teknologi bagi memartabatkan bahasa Melayu menjadi sia-sia. Walaupun Bahasa Inggeris penting, ia bukan faktor penentu kejayaan sesebuah negara. Jepun yang mendahului negara lain di dalam bidang teknologi tidak pernah mengutamakan bahasa lain.

Kembali