Mohd Sabu - UMNO sedang menghadapi sakaratulmaut

Senai, 18 Mei, 2001.

Isu-isu dan perkembangan mutakhir ini benar-benar menjadikan UMNO tenat. UMNO kini ibarat menghadapi sakaratul-maut. Apa saja yang dibuat untuk memulihkan UMNO hanya sia-sia saja. Pandangan ini dikemukakan oleh YB. Haji Mohamad Sabu di dalam ceramahnya di Taman Senai Utama sempena pelancaran Sambutan Jubli Emas PAS anjuran PAS Kawasan Senai. Mohamad Sabu juga mencadangkan agar TV3 memanjangkan waktu Buletin Utama dari 1 jam kepada 3 jam; 1 jam mengampu Mahathir dan 2 jam lagi menghentam BA, dengan syarat BA dibenarkan mengadakan ceramahnya di mana-mana tanpa sebarang gangguan dan tekanan.

Rakyat juga diminta jangan keliru dengan dakyah UMNO yang kononnya mereka akan rugi kiranya BA berkuasa. Sebagai contoh, apabila BA menang di Terengganu dan Kelantan, ADO, Ketua Polis, Guru Besar dan lain-lain kekal dengan tugas mereka dan tidak diturunkan pangkat atau dipecat. Sebab itu jabatan-jabatan di dalam kerajaan diminta agar tidak menjadi alat kepada mana-mana parti politik walaupun kakitangan mereka bebas untuk memihak atau cenderung kepada mana-mana parti politik yang mereka suka.

Umur PAS sudah menjangkau 50 tahun, suatu umur yang sangat panjang bagi sebuah parti yang tidak memerintah di Malaysia. Kekuatan ini adalah disebabkan dasar perjuangan PAS yang tidak pernah berubah; memperjuangkan dan berusaha memartabatkan Islam. Dalam usia setengah abad ini, PAS telah melalui pelbagai era, iaitu era pra-merdeka, era menjadi pembangkang, era menjadi pemerintah dan era kepimpinan ulamak.

Mengulas desakan wakil UMNO di parlimen agar Ezam dilucutkan kerakyatan dan dihalau keluar negara kerana memburukkan pemimpin Malaysia di luar negara, YB Mohamad Sabu menyokong cadangan itu dengan syarat orang yang mula-mula diambil tindakan sedemikian ialah Dr. Mahathir sendiri. Ini adalah disebabkan semasa Tunku Abd Rahman menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir adalah orang yang paling kuat menentang Tunku sehingga beliau pernah dilucutkan keahlian sebagai ahli UMNO. Dr. Mahathir juga menggunakan pentas-pentas pembangkang memaki hamun Tunku. Beliau bertindak menghasut pelajar-pelajar di dalam dan luar negara dan banyak membuat kenyataan dan tulisan di luar negara menkritik dan memburuk-burukan pemerintahan Tunku. Jadi kiranya Ezam mahu diambil tindakan, Dr. Mahathir juga mesti dihukum dengan hukuman yang sama.

Mengulas kejadian mengoyak poster oleh Dr. Adham Baba, Exco Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, YB Mohamad Sabu mengatakan, ia merupakan perkara yang amat memalukan bagi seorang yang bergelar doktor tetapi kerjanya mengoyak poster. Menurut YB Mohamad Sabu lagi, tidak mustahil apabila sudah terlalu bimbang dan terdesak, satu hari nanti Dr. Mahathir juga akan melakukan kerja yang sama; mengoyak poster parti lawan.

Kembali