Ganggu poster ceramah PAS - Dr. Adham Baba Tertangkap

Senai, 18 Mei, 2001.

Politik di Senai kebelakangan ini semakin panas dan menarik. Beberapa insiden yang memalukan telah berlaku apabila papan tanda PAS di Felda Taib Andak dan di Felda Sungai Sayong di conteng dan dirosakkan. Nasib yang sama berlaku ke atas papan tanda ADIL di Felda Bukit Besar. Laporan polis mengenai insiden tersebut telah dibuat oleh ahli PAS di Balai Polis Kota Tinggi dan Balai Polis Kulai. Orang-orang PAS sedang menahan sabar, hanya kerana tidak dapat membuktikan UMNO terlibat di dalam insiden tersebut lantaran ia dilakukan di waktu manusia sedang nyenyak tidur.

Sebelum ini, kejadian mengganggu poster PAS sering berlaku termasuk menggunakan cat "spray" sehingga mengotorkan dinding dan premis awam di mana poster ditampal. Tidak cukup dengan itu, perkataan "PAS" dan "BA" serta beberapa perkataan lucah disemburkan di dinding-dinding. Antara yang menjadi mangsanya ialah Maybank dan Hong Leong Finance Cawangan Kulai. Saya bersimpati dengan pegawai bank yang terpaksa mengecat semula dinding yang diconteng bagi menutup kecacatan yang berlaku. Insiden menyembur cat ke atas poster dihentikan selepas beberapa kejadian. Khabarnya terdapat bantahan dari peniaga-peniaga di sekitar Kulai ekoran penggunaan cat sembur ke atas poster BA oleh "kutu UMNO" (istilah yang saya pinjam dari AJK UMNO Senai, Us. Abd Ghani Khamis yang juga tidak setuju dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu).

Program ceramah PAS dan BA yang akan diadakan secara berturut-turut di dalam Parlimen Senai menghangatkan lagi suasana yang sudah sedia panas. Petugas-petugas PAS menampal poster hingga lewat pagi 16 Mei untuk program ceramah dan forum pada 18, 19 dan 20 Mei di sekitar Senai, tetapi didapati poster-poster tersebut telah dikoyakkan di waktu subuh. Saya kira ia merupakan suatu kerja yang memang terancang dan tersusun kerana hampir semua poster habis dikerjakan. Kalau ada yang tinggal pun, mungkin kerana ianya agak terlindung.

Saya tidak terlibat di dalam kerja menampal poster tersebut, tetapi saya merasa apa yang dibuat itu agak keterlaluan. Pada pagi 16 Mei itu saya menampal semula poster-poster baru di tempat-tempat di mana poster-poster dikoyakkan. Pada jam 8.30 pagi saya naik ke pejabat Dr. Adham Baba, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Senai. Saya memang berhajat sangat untuk bertemu muka dengan Exco Pemuda UMNO Malaysia itu. Malangnya beliau tiada dan saya diminta datang semula untuk bertemu dengan setiausaha Pemuda UMNO Senai pada jam 10.00 pagi. Tepat jam 10.00 pagi saya terus pergi semula ke pejabat Pemuda UMNO Senai dan bertemu dengan Sdr. Jamaludin, Setiausaha Pemuda UMNO Senai. Dalam pertemuan itu saya meminta penjelasan mengenai insiden mengoyak poster tersebut dan insiden merosakkan papan tanda PAS. Jamaludin memberitahu bahawa beliau tidak ada maklumat langsung tentang perkara tersebut dan meminta saya mengemukakan bukti mengatakan UMNO terlibat. Biasalah, jawapan orang politik. Beliau berjanji akan memberitahu pemuda UMNO agar tidak melakukan perkara tersebut walaupun dia memberitahu tiada jaminan perkara itu tidak akan berulang.

Pada pagi 17 Mei, saya dapati poster-poster ceramah tersebut dikoyak semula dan saya terus meminta rakan-rakan menampal semula poster-poster baru bermula dari selepas subuh sehingga kira-kira jam 8.00 pagi. Pada malamnya PAS dan Keadilan telah mengadakan pertemuan untuk membincangkan usaha mengawal poster itu dari dikoyak semula. Selepas mesyuarat, beberapa kumpulan dari BA mengadakan rondaan di kawasan-kawasan utama poster dan banner dipasang. Saya ditemui oleh beberapa orang yang menyampaikan maklumat bahawa kumpulan yang bertanggungjawab mengoyak poster PAS  melaksanakan kerja mereka sekitar jam 3.00 - 5.00 pagi. Maklumat yang disampaikan kepada saya, kumpulan tersebut juga diberi upah untuk melakukan tugas mereka.

Tepat jam 2.45 pagi 18 Mei, saya menerima panggilan bahawa ada 3 lelaki yang sedang mengoyakkan poster bermula di sebelah Maybank dan bergerak ke arah Bank Simpanan Nasional Kulai. Saya dan seorang rakan yang kebetulan berada tidak jauh dari situ segera berlari ke tempat kejadian. Dalam kepala saya, tentulah yang melakukan kerja tersebut dari kalangan remaja yang bermotosikal. Saya amat terkejut apabila kenderaan yang dipandu oleh kumpulan tersebut ialah jenis Mercedes S-Class. Walaupun pada mulanya saya menyangka itu kenderaan Exco Johor yang juga wakil rakyat Dun Bukit Permai, Hj. Adam Hamid tetapi hati saya berkata, tak mungkin Hj. Adam mahu terlibat dengan kerja kebudak-budakan itu.

Terkejut juga saya apabila saya dapati salah seorang daripada mereka ialah Dr. Adham Baba. Saya segera merapati Dr. Adham dan bertanya apa yang dia sedang buat. Katanya, dia baru saja balik dari Kedah. Saya menuding kepada poster-poster yang baru dikoyakkan dan bertaburan di atas rumput dan bertanya siapa yang melakukannya. Beliau menafikan mengoyak poster tersebut dan berlakulah sedikit pertengkaran antara kami. Salah seorang dari mereka memandu kenderaan mewah tersebut dan terus ke balai Polis Kulai sementara Dr. Adham dan Sdr Nasaruddin bergegas berjalan ke Balai.

Tidak lama kemudian datang sebuah kereta kancil membawa polis yang berpakaian biasa mengambil kad pengenalan saya dan rakan-rakan saya. Kami diperintahkan ke Balai Polis Kulai. Sempat juga kami menelefon rakan-rakan lain dalam BA dan dalam masa yang singkat pimpinan dan penyokong BA berkumpul di Balai Polis Kulai. Di dalam pertengkaran kami di Balai Polis, Dr. Adham mengatakan bukan beliau yang mengoyak poster tersebut, tetapi Nasaruddin yang telah melakukannya dan diakui sendiri oleh Nasaruddin. Alasannya ceramah yang diadakan tidak mendapat permit dan poster tersebut juga mencacatkan persekitaran. Saya mempertikaikan bagaimana beliau tahu mengenai kelulusan permit itu sedangkan ianya adalah maklumat pihak polis. Saya juga mempertikaikan tindakan beliau mengoyak poster tersebut, kerana beliau bukan pekerja Majlis Daerah.

Akhirnya pegawai penyiasat Leonard meminta kami bertenang. Beliau memberitahu PAS berhak menampal poster di tempat umum yang dirasakan sesuai dan UMNO diminta tidak menggangu lagi poster PAS. 5 laporan polis telah dibuat, 3 dari PAS dan 2 dari UMNO. Dr. Adham dan pegawai cawangan khas meminta agar perkara tersebut tidak diperbesarkan, tetapi saya memberitahu, itu terpulang kepada pihak pimpinan BA untuk menentukannya. Lucu juga apabila diakhir pertemuan, kami berbual mesra seperti kawan lama, walaupun itulah kali pertama saya bertemu dengan Dr. Adham. Selepas bersalaman antara satu sama lain, kami beredar dari Balai Polis Kulai sekitar jam 4.45 pagi.

Jam 9.00 pagi, saya terserempak dengan Sdr. Jamaluddin, Setiausaha Pemuda UMNO Senai dan kami ke sebuah restoran di Kulai. Di situlah buat pertama kalinya saya bertemu dengan Us. Abd Ghani, Sdr. Zul dan rakan-rakan pemuda UMNO yang lain yang awalnya belum maklum mengenai kejadian tertangkapnya Dr. Adham. Mungkin mereka sedang sibuk membincangkan pertemuan dengan Dr. Mahathir pada petang tersebut.

Gambar-gambar Dr. Adham di Balai Polis

Kembali