Make your own free website on Tripod.com

UMNO ulangi sifat kaum munafik

Felda Sungai Sayong, 14 Julai, 2001

Tindakan yang dilakukan UMNO kebelakangan ini adalah ulangan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah dan zaman tabi'in. Di zaman Rasulullah dan tabi'in para penegak kebenaran telah dikenakan hukuman penjara dan diseksa kerana mereka tidak mahu berhenti daripada menyatakan perkara yang hak. Ujian seperti ini bukan hanya dilalui oleh golongan pengikut, bahkan dilalui juga oleh pemimpin besar dan ulamak yang terkenal. Perkara ini dinyatakan oleh Sdr Mohd Faris Mohd Salleh, Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Johor. Beliau berceramah menggantikan YB. Zulkifli Yaakob yang tidak dapat hadir. Menurutnya, Imam Abu Hanifah sendiri pernah dipenjara dan disebat agar dia berhenti menentang sultan yang zalim di zamannya. Beliau akhirnya mati diracun kerana keengganannya berkompromi dengan pemerintah yang zalim itu. Begitu juga yang menimpa Imam Ahmad bin Hambal yang tidak sanggup berkompromi dengan kesesatan Al-Mu'tasim. Beliau dipenjara dan disiksa yang akhirnya membawa maut kepadanya.

Penangkapan tanpa bicara yang dikenakan kepada aktivis dan penyokong BA adalah satu kesinambungan kejahatan pemerintah zalim di zaman lampau yang kini diwarisi oleh UMNO dan kerajaan BN. Mereka ditahan atas sebab-sebab yang tidak dapat dibuktikan sehingga kini. Tuduhan merancang rusuhan dan mengumpulkan senjata ke atas aktivis pemimpin Keadilan dan tuduhan terlibat dengan Kumpulan Mujahidin Malaysia ke atas penyokong PAS adalah suatu fitnah jahat yang direka untuk melemahkan kedua-dua parti komponen BA ini. Ianya terpaksa dilakukan apabila segala usaha lain yang dilakukan oleh kerajaan untuk menarik kembali simpati rakyat tidak berjaya. Fitnah seumpama ini turut dilakukan oleh musuh-musuh Islam di sepanjang zaman.

Sdr. Faris menceritakan fitnah yang juga diamalkan oleh kaum munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai di zaman Rasulullah ke atas orang-orang mu'min bagi menghalang kemaraan da'wah Rasulullah. Antaranya dihadapi sendiri oleh A'ishah, isteri Rasulullah. Di dalam suatu pengembaraan, A'ishah yang tercicir loketnya semasa membuang air telah ditinggalkan oleh rombongannya semasa beliau mencari loket yang hilang itu. Tidak lama kemudian Safuan bin Mu'tal, sahabat yang diamanahkan berjalan di belakang rombongan tersebut, lalu dan terkejut melihat A'ishah yang ditinggalkan oleh rombongannya. Safuan yang bermaruah telah turun dari untanya dan meminta A'ishah menaiki unta tersebut sedang dia sendiri berjalan memimpin unta tersebut ke Madinah. Apabila sampai di Madinah, golongan munafik mula menyebarkan berita fitnah kononya A'ishah melakukan perkara sumbang dengan Safuan. Perkara ini berlanjutan sehinggalah Allah sendiri menurunkan ayat yang membersihkan nama A'ishah dan Safuan.

Mengulas kenyataan Dato' Najib Tun Razak supaya PAS mengemukakan buktikan bahawa PAS tidak terlibat dengan KMM, Sdr Faris menyatakan bahawa orang yang menuduh terlebih dahulu perlu mengemukakan bukti bahawa tuduhannya itu benar. Kerajaan lah yang sepatutnya mengemukakan bukti di hadapan rakyat mengenai tuduhan wujudnya KMM dan pengelibatan mereka yang ditangkap. Penggunaan ISA yang tidak memberi peluang kepada orang yang dituduh mendapat pembelaan yang seadilnya adalah suatu jenayah terhadap hak asasi manusia.

Beliau juga menceritakan bagaimana seorang pegawai Jabatan Agama Johor telah cuba menggagalkan Kuliah Maghrib oleh Dato' Ishak Bahrom yang telah dipersetujui oleh ahli masjid Tanjung Kupang. Di dalam peristiwa itu, pegawai berkenaan yang tidak dikenali oleh ahli jamaah di kawasan tersebut telah menjadi imam secara biadab. Selepas sembahnyang, beliau juga dikatakan telah membaca wirid dan do'a yang paling panjang di dalam sejarah wirid dan do'a selepas solat maghrib. Wirid dan do'anya dikatakan hanya tamat pada jam 8.15 malam dan kemudian diikutinya dengan kuliah beliau sendiri..

Helah menggunakan wirid dan aktiviti agama untuk menghalang kebenaran dari disampaikan juga adalah perbuatan kaum munafik. Di zaman Rasulullah sendiri, Abdullah bin Ubai pernah membina masjid yang lebih indah berbanding masjid Nabi supaya umat Islam dilengahkan dari jihad. Mengetahui helah disebalik pembinaan masjid dhirar itu, Rasulullah telah memerintahkan masjid tersebut dibakar.

Kembali