Penceramah Maulidurrasul dedah punca umat Islam lemah

Saleng, 07 Julai, 2001.

Kehebatan umat Muhammad adalah kerana mereka mengamalkan al-Qur'an dan mengikut sunnah Nabi SAW. Perkara ini dinyatakan oleh Us. Hj. Sakijan Muri, Penolong Pengetua HEM, Sek. Men. Kota Kulai. Beliau telah menegaskan perkara ini di dalam ceramahnya sempena sambutan Maulidurrasul Surau Taman Muhibah, Saleng.

Menurut beliau, umat Nabi Muhammad dikurniakan dengan pelbagai kelebihan berbanding umat terdahulu sehingga Nabi Musa pernah memohon kepada Allah untuk dijadikan sebagai umat Muhammad. Malangnya, umat Islam hari ini tidak mengambil berat akan sunnah dan amalan yang digalakkan oleh Rasulullah. Ajaran Rasulullah telah diguna-pakai oleh masyarakat bukan Islam termasuk masyarakat Yahudi dan masyarakat Cina. Sebagai contohnya, masyarakat Cina ramai yang hidup senang kerana mengikut nasihat Rasulullah yang menyatakan sembilan per sepuluh rezeki itu dari perniagaan.

Hj. Sakijan juga mendedahkan bagaimana di sekolah beliau yang mempunyai kira-kira 60 orang murid Islam, hanya 20 orang daripada mereka boleh membaca al-Qur'an. daripada 20 orang itu pula, hanya 5 orang sahaja yang boleh membaca al-Qur'an dengan baik. Beliau mendedahkan, bahawa ramai ibubapa yang berjaya mendidik anak mereka sehingga berjaya, kerana mereka bergantung dengan amalan do'a, zikir, selawat dan bacaan al-Qur'an. Malangnya hari ini kebanyakan ibubapa seperti tidak mempunyai masa untuk membaca al-Qur'an dan mendo'akan anak-anak mereka.

Hj. Sakijan mengingatkan para hadirin akan rahsia bagaimana musuh Islam menewaskan umat Islam. Menurutnya, Gladstone pernah bercakap di dalam Parlimen British bahawa orang barat tidak mungkin dapat menewaskan umat Islam selagi mana umat Islam berpegang teguh dengan al-Qur'an. Selain itu, kelemahan umat Islam hari ini ialah mereka cuba mengasingkan masyarakat bukan islam dari sambutan dan majlis keagamaan umat Islam sehingga orang bukan Islam tidak punya peluang untuk mengenali Islam yang sebenarnya.

Kembali