Mangsa tidak patah semangat walau tanaman dimusnahkan

Bukit Ramun, Kulai, 03 Julai, 2001.

Serai dan pisang ditanam semula

Pondok yang musnah didirikan semula untuk tempat bersolat

Kemusnahan yang dilakukan oleh penguasa ke atas tanaman mereka sedikitpun tidak melemahkan semangat para petani yang bersemangat waja di Bukit Ramun. Seminggu yang lalu tanaman habis musnah dikerjakan penguasa PTG, Pejabat Tanah kota Tinggi dan JPS, tetapi hari ini tanaman baru sudah ditanam semula.

Saya yang melihat usaha gigih golongan ini merasa begitu kagum dengan semangat mereka. Sebelum ini saya hanya mendengar cerita perit jerih orang-orang tua kita menebang hutan dan menerangkan tanah bagi dijadikan kawasan penempatan dan pertanian. Hari ini saya melihat dengan mata kepala saya sendiri bahawa golongan bersemangat waja ini masih wujud walaupun di dalam zaman yang serba moden ini. Biasanya kerja-kerja lasak seperti ini hanya diupahkan kepada buruh-buruh Indonesia, tetapi lain pula yang berlaku di Bukit Ramun. Para petani kita sendiri menerangkan, mengusahakan dan menyuburkan tanah yang sudah sekian lama dibiarkan tanpa hasil itu. Usaha murni ini sepatutnya dipandang tinggi oleh pegawai-pegawai kerajaan yang telah memusnahkan tanaman tersebut.

Menurut salah seorang pengusaha muda kawasan ini, projek tersebut asalnya diketengahkan oleh Pemuda UMNO Bukit Ramun sebagai salah satu usaha ekonomi mereka. Malangnya tanah tersebut langsung tidak diusik mahupun diusahakan. Maka orang-orang lain yang punya semangat ini telah mengambil inisiatif membersihkan tanah tersebut dan memperuntukkan sebahagian tanah yang mereka bersihkan untuk pemuda UMNO tetapi malangnya tanah tersebut tidak juga diusahakan. Lalu mereka membantu menanam tanaman yang boleh mendatangkan hasil dan meminta Pemuda UMNO mengambil dan memasarkan hasil tersebut, tetapi nampaknya hasil yang boleh dijual itu juga tidak dipasarkan dan telah dibiarkan rosak.

Menurut En. Hamid, walaupun mereka mempunyai 10 ekar tanah rancangan Felda, tanah tersebut tidak boleh ditanam dengan tanaman selain kelapa sawit. Maka tanah terbiar itu telah dijadikan tapak untuk mereka menanam tanaman kontan yang boleh membantu meningkatkan ekonomi mereka. En. Ahmad yang kerugian kira-kira 3000 pokok pisang kerana dimusnahkan merasa sedih kerana harapannya untuk mendapat pendapatan sampingan yang agak lumayan hancur begitu saja. Walau bagaimanapun menurutnya, dia tidak akan patah semangat. "Banyak tanah-tanah yang telah diceroboh oleh bangsa lain dibiarkan walaupun telah ditanam dengan tanaman kekal seperti durian dan sebagainya. Mengapa apabila orang Melayu yang berbuat demikian layanan yang diberikan kepada kami begitu buruk sekali". Beliau juga merasa kecewa dengan sikap Haji Alwee, Pegawai Daerah Kota Tinggi, yang telah menggunakan kata-kata kasar kepada mereka.

Sdr. Mazlan Aliman yang telah melawat kawasan tersebut memberi komen. "Hj. Adam Hamid tentu akan mempertahankan segala tindakan Haji Alwee kerana beliau pernah terhutang budi kepada Hj. Alwee. Dalam Pilihanraya Umum 1999, Adam Hamid yang tersilap mengisi borang pencalonan telah diselamatkan oleh haji Alwee yang pada masa itu dilantik sebagai Pegawai SPR walaupun sepatutnya pencalonan beliau tidak sah akibat kesilapan tersebut.

Kembali