Sdr. Norain pula dilokap

Kota Tinggi, 02 Julai, 2001.

Sdr. Norain bersalaman dengan Sdr. Mazlan Aliman selepas dibebaskan

Program Sambutan Jubli Emas anjuran PAS Kawasan Tenggara berakhir dengan penangkapan Sdr. Norain Hj. Sakib, Ketua Penerangan PAS Kawasan Tenggara, Adik Al-Fatah, penceramah cilik dari warga Indonesia dan juga bapanya. Sdr. Norain telah ditahan kerana menurut polis, beliau sebagai penganjur dikatakan telah melanggar syarat permit yang dikeluarkan. Sebelum itu pihak polis telah tidak membenarkan penceramah cilik, Adik Akashah, 8 tahun, berceramah di dalam program tersebut. Walau bagaimanapun penganjur telah menjemput juga adik beliau, Al-Fatah, memberikan ucapan selama 15 minit bagi menggantikan Akashah yang dikatakan tidak sihat. Penganjur memberi alasan mereka telah bertindak menjemput Al-Fatah ke pentas sebagai penghormatan kepada kebolehannya di samping kehadiran beliau adalah sebagai tetamu undangan. Bapa Al-Fatah juga telah ditahan kerana dikatakan telah naik ke pentas bagi memperkenalkan dan memohon sumbangan untuk pesantrennya di Indonesia.

Sdr. Norain dan bapa Al-Fatah telah ditahan di lokap balai Polis kota Tinggi bersama-sama 79 banduan lain, sementara adik Al-Fatah ditahan di Balai Polis Batu Empat. Sdr. Mazlan Aliman, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, telah turun bersama-sama ahli PAS Kawasan Tenggara dan Kota tinggi bagi memberikan sokongan moral kepada mereka yang ditahan. Selepas berbincang dengan Ketua Polis Kota Tinggi, Sdr. Norain telah dibebaskan kira-kira jam 2.00 petang dengan seorang penjamin. Walau bagaimanapun 2 orang tetamu Indonesia yang ditahan masih belum dibebaskan sehingga urusan dengan Imigresen selesai.

Sdr. Norain yang ditemui sejurus selepas dibebaskan kelihatan ceria dan tersenyum walaupun kelihatan sedikit pucat kerana tidak tidur semalaman. Beliau telah berpuasa sunat sepanjang tempoh penahanan dan mengerjakan solat waktu berjamaah bersama bapa Al-Fatah. Menurutnya, walaupun baru semalaman di lokap bersama banduan lain, mereka nampak begitu menghormati dan mesra dengan beliau dan bapa Al-Fatah. Menurut Sdr. Norain, "Lokap adalah tempat tarbiyyah saya untuk terus bersemangat berjuang di dalam PAS".

Kembali