Make your own free website on Tripod.com

PAS tidak melakukan sebarang kesalahan

Senai, 01 Sept, 2001.

misbahulmunir-s.jpg (4655 bytes)

Misbahul Munir

Tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh PAS dan ahlinya mengenai sebarang tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas PAS dan ahli-ahlinya akhir-akhir ini. Misbahul Munir Msduki, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, menegaskan perkara ini di dalam ceramahnya di Taman Senai Utama pada malam 31 Ogos. Sebelum ini beliau sendiri pernah dipanggil oleh pengarah pendidikan negeri mengenai pengelibatannya di dalam PAS sedangkan beliau adalah seorang guru. Di dalam pertemuan beliau dengan pengarah pendidikan itu, beliau menyatakan, kiranya apa yang dibuat itu menyalahi perintah am kakitangan kerajaan, beliau mahu agar semua guru lain yang turut aktif di dalam UMNO, MCA dan MIC diambil tindakan. Selain itu, ramai kakitangan kerajaan juga menjadi penjamin kepada peminjam di bank-bank tanpa kebenaran ketua jabatan sedangkan ia menyalahi perintah am. Jadi, kalau perintah am itu sendiri tidak dilaksanakan sepenuhnya mengapa ia perlu dikenakan kepada ahli PAS sahaja, soalnya.

Ceramah beliau yang diadakan di perkarangan PASTI Taman Senai Utama terpaksa dibuat di dalam PASTI apabila pihak polis, yang diketuai Hj Yusuf, mengugut akan memecah masuk ke dalam pagar PASTI setelah menghalau orang ramai yang berada di luar pagar PASTI tersebut. Menyambung ceramahnya, Sdr Misbahulmunir menjelaskan bahawa di dalam kes yang ditangani oleh SUHAKAM, sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan oleh kerajaan sendiri, menunjukkan bahawa berlaku perlanggaran hak asasi semasa menyuraikan perhimpunan di Kesas Highway. Malangnya, apabila laporan tersebut diserahkan oleh SUHAKAM dan sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat, Dr. Mahathir terlebih dahulu menyerang SUHAKAM kononnya SUHAKAM terpengaruh dengan idea Barat.

Misbahulmunir menyatakan, itulah sikap sebenar Dr. Mahathir yang tidak pernah mahu mendengar pandangan orang walaupun mereka yang terlibat dalam Suruhanjaya tersebut tiada seorangpun ahli parti pembangkang. Begitu juga nasib yang menimpa MAPEN (Majlis Perundingan Ekonomi Negara) yang dipertanggungjawabkan mengemukakan cadangan pemulihan ekonomi negara. Sebelum cadangan tersebut dikemukakan Dr. Mahathir terlebih dahulu menyatakan, tidak mesti apa yang dicadangkan oleh MAPEN itu akan diterima oleh kerajaan.

Kembali