UMNO hanya lantang di PWTC

Taman Putri, Kulai, 01 Julai, 2001.

Penuh semangat

Berbual dengan hadirin selepas ceramah

Tuduhan UMNO yang mengatakan PAS adalah parti yang mengkhianati bangsa Melayu sebenarnya mengenai batang tubuh UMNO itu sendiri. Perkara ini dijelaskan oleh Ahli Sosiology Malaysia, Sdr. Ann Wan Seng di dalam ceramahnya di Taman Putri Kulai. Para hadirin di dalam ceramah tersebut ditanya, siapa sebenarnya yang menggadai tanah rizeb Melayu, yang merampas tanah orang Melayu di Kerpan dan Pantai Kundur, siapa yang menghapuskan biasiswa untuk pelajar bumiputra. Semua yang hadir menjawab "UMNO".

Beliau juga menolak dakwaan Mahathir bahawa PAS menipu masyarakat Cina. Menurutnya kalau masyarakat Cina tidak yakin dengan PAS tentunya mereka tidak menjemput Dato' Nik Aziz ke Bukit Pelanduk bagi mengadu hal dam masalah mereka. Tindakan masyarakat Cina itu jelas menunjukkan mereka sebenarnya sudah tidak yakin kepada UMNO dan BN yang telah menipu mereka sekian lama.

Menyentuh keputusan mahkamah tinggi membatalkan kemenangan BN di Likas membuktikan bahawa kemenangan BN selama ini adalah bergantung kepada "hantu". Tidak hairanlah apabila banyak keputusan pilihanraya yang lalu di beberapa kawasan memihak kepada BN selepas kiraan dibuat kali kedua sedangkan kiraan pertama menunjukkan kemenangan BA. Di saat akhir akan ada saja tong undi yang dibawa masuk yang memenangkan BA.

Sdr. Ann Wan Seng menifatkan pemimpin UMNO hanya berani bercakap lantang di PWTC tetapi tidak mampu berhujah dengan PAS. Kebimbangan mereka itu memaksa mereka mengadakan apa yang dipanggil Debat Olok-Olok. Walaupun yang dibariskan sebagai PAS di dalam debat tersebut adalah orang UMNO, barisan UMNO masih juga gagal berhadapan dengan hujah barisan PAS tersebut. Ketidakmampuan UMNO berhadapan dengan BA di samping keadaan UMNO yang begitu nazak menyebabkan Mahathir menangis di dalam perhimpunan Agong UMNO.

Sajak "Melayu Mudah Lupa" yang dibaca oleh Mahathir sebenarnya merupakan suatu sindiran Mahathir kepada orang-orang Melayu. Kerana orang Melayu mudah lupa lah yang membolehkan UMNO terus berkuasa. Kiranya orang Melayu adalah jenis manusia kuat ingatan sudah tentu tindakan ganas UMNO merampas tanah, memusnahkan hasil tanaman orang Melayu, perobohan rumah-rumah setinggan dan lain-lain akan menyebabkan orang Melayu segera menolak UMNO. Tetapi UMNO bernasib baik kerana Melayu mudah lupa.

Menurutnya lagi UMNO benar-benar ditinggalkan oleh masyarakat. Siti Nurhaliza yang ditawarkan jawatan exco Putri UMNO telah menolak bulat-bulat tawaran itu. Era Fazira yang mengambil kekosongan tersebut akhirnya meninggalkan jawatan tersebut. Kaunter pendaftaran Putri UMNO yang dibuka di dalam sebuah pameran buku langsung tidak dikunjungi orang.

Mahathir dianggap keterlaluan apabila bercakap seolah-olah kebakaran Dewan UM dilakukan oleh pelajar yang terpengaruh dengan BA sedangkan kes tersebut masih di dalam siasatan polis. Menurut Ann Wan Seng, penuntut-penuntut UM memang sudah biasa dengan demonstrasi sejak zaman 60'an lagi, tetapi mereka tidak pernah bertindak merosakkan bangunan atau harta awam. Tuduhan membakar juga boleh dilemparkan kepada UMNO kerana memang UMNO cuba menunjukkan bahawa penuntut universiti sudah terpengaruh dengan gerakan militan.

Mengenai keputusan MCA membeli Nanyang Siang Pau dan China Press, ianya merupakan kehendak Mahathir sendiri kerana menurut mereka kekalahan BN di Lunas adalah disebabkan berita-berita sebenar yang disiarkan oleh kedua-dua akhbar tersebut. Walaupun ramai orang Cina terkejut dengan keputusan MCA membeli akhbar tersebut, ia sebenarnya suatu perkara yang terpaksa juga dilakukan oleh MCA kerana Dr. Mahathir di dalam ucapan akhirnya di dalam Perhimpunan Agong UMNO memberi isyarat bahawa tindakan akan diambil ke atas kedua-dua akhbar tersebut. Menurut Ann Wan Seng, pembelian kedua-dua akhbar ini akan menyebabkan kemarahan di kalangan masyarakat Cina dan menjamin kemenangan BA.

Antara tuduhan ke atas akhbar ini ialah membangkitkan isu perkauman apabila berita sekelompok ibubapa pelajar SRJKC Damansara membantah perpindahan pelajar diperbesar-besarkan. Sokongan PAS kepada tindakan ibubapa pelajar tersebut adalah wajar kerana pelajar-pelajar dipaksa berpindah sedangkan sekolah yang dijanjikan belum siap. Akibatnya mereka terpaksa belajar di bangunan sementara dan terpaksa berpindah untuk kali kedua apabila bangunan yang dijanjikan itu siap kelak. Bagi PAS pendidikan merupakan suatu tanggungjawab sosial yang perlu ditangani oleh kerajaan. Sebab itulah kerajaan Kelantan memperuntukkan tanah-tanah kerajaan untuk dibina di atasnya sekolah-sekolah Cina.

Beliau juga mengecam kezaliman ISA yang menghalang seseorang yang dituduh dari dibicarakan. Sehingga kini, hanya Malaysia, Singapura, Berunai dan Israel sahaja yang melaksanakan ISA. Berita yang diterima dari Puan Bahirah, isteri Ezam, Ezam sentiasa dalam keadaan terketar kerana kekurangan zat. Di dalam tahanan, biasanya dia hanya diberi makan nasi putih dan ikan kering. Makanan yang dibawa keluarga tidak dibenarkan langsung.

Kebimbangan UMNO dengan kebangkitan Islam terbukti apabila aktiviti-aktiviti masjid dan surau yang rancak disekat. AJK yang layak ditukarkan dengan AJK yang tidak pernah ke masjid dan yang tak kenal Islam. Masjid-masjid menjadi tidak makmur. Ia amat berlawanan dengan keadaan yang berlaku di Eropah di mana umat Islam membeli gereja dan dijadikan masjid. Politik yang diajar di Universiti tidak pula dibenarkan disebut di masjid.

Di dalam masa ada di kalangan rakyat yang hidup di dalam khemah kerana ketidakmampuan memiliki rumah yang sempurna seperti di Lengging, pemimpin negara membina istana lebih dari RM 200 juta.

Walaupun tidak disukai, Mahathir menegaskan bahawa dia akan tetap ke UM kerana universiti adalah tempat di mana semua orang berhak pergi. Malangnya, dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin pembangkang tidak langsung dibenarkan masuk ke universiti untuk bertemu dengan mahasiswa.

Kembali