Zainuddin Maidin disanggah

Senai, 19 April.....Kenyataan Zainuddin Maidin (ZAM) di dalam akhbar tempatan yang berang dan menuduh mufti gagal melaksanakan tugas membela agama dari dipolitikkan oleh pihak tertentu ternyata suatu kenyataan yang memperbodohkan diri sendiri. Perkara ini dijelaskan oleh Yang Dipertua Persatuan Ulama' Malaysia, Us. Ahmad Awang, di dalam Forum Perdana anjuran PAS Kawasan Senai. Forum Perdana itu yang julung kali dianjurkan oleh PAS Kawasan Senai berjaya menampilkan tokoh panel yang berwibawa iaitu Us. Ahmad Awang, Dr. Lo Lo Ghazali dan Us. Abas yang menggantikan Us. Taib Azamuddin. Dianggarkan kira-kira 4000 orang menghadiri forum tersebut.

Di dalam forum tersebut Us. Ahmad Awang yang merupakan bekas pegawai Pusat Islam menjelaskan bahawa mufti-mufti dilantik dengan diberikan bidang kuasa tertentu yang terbatas dan hanya mengeluarkan fatwa apabila diminta oleh menteri besar dan Majlis Fatwa Kebangsaan. Menurut peraturan yang ada, sebarang kenyataan mufti di dalam ceramah atau kuliahnya tidak dianggap fatwa. Contoh halangan yang dikenakan terhadap mufti ialah seperti yang terjadi terhadap isu ASN. Memandangkan berlaku banyak pertanyaan dan kekeliruan di dalam masyarakat pada masa itu mengenai ASN, maka Majlis Fatwa telah mengadakan pertemuan dengan Permodalan Nasional berhad (PNB) berhubung dengan isu ASN. Oleh kerana majoriti ahli majlis fatwa berpendapat bahawa perlaksanaan ASN adalah tidak menurut syariat, Dr. Mahathir telah mengeluarkan arahan melarang sebarang hukum dikeluarkan mengenai ASN. Kesimpulan yang dibuat oleh Us. Ahmad Awang bagi menjawab komen Zainuddin Maidin bahawa yang menggagalkan tugas mufti-mufti adalah kerajaan BN sendiri.