harun-taib.jpg (5551 bytes)

UMNO mencari susah di Terengganu

Senai, 3 November, 2000 - Tidak ada perbezaan di dalam sembahyang dan puasa di antara orang UMNO dengan orang PAS kerana UMNO juga menghayati konsep sembahyang yang betul sebagaimana dihayati oleh orang-orang PAS. UMNO memahami Islam setakat perkara ibadah khusus seperti sembahyang, dan kerana itu UMNO membina banyak masjid. Begitu juga puasa, dengan melantik mufti dan pegawai lain untuk melihat anak bulan bagi menentukan puasa dan hariraya. Bahkan ulamak UMNO hanya membincangkan soal haid dan nifas selama bertahun-tahun dan wujud apa yang dipanggil "Ulamak haid wan niffas". Sebab itu mereka tidak mahu membincangkan soal ekonomi Islam, politik Islam, pentadbiran Islam dan sebagainya kerana ia dianggap akan menjadikan mereka mundur atau kepentingan mereka terhalang. Perkara ini dijelaskan oleh YB. Us. Haji Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Exco Kerajaan Terengganu.

Selama ini UMNO yang telah memerintah Terengganu selama 37 tahun tidak mampu mengurangkan jurang kemiskinan di Terengganu. Sebagai contohnya, walaupun kerajaan Terengganu yang dahulu memberikan pinjaman kepada kakitangannya, peminjam tetap dikenakan faedah yang kononnya dianggap "bayaran perkhidmatan" sebanyak 4%. Walaupun kadar tersebut dianggap rendah berbanding kadar yang dikenakan oleh bank, peminjam tetap perlu membayar balik jumlah yang besar iaitu dua kali ganda dari jumlah yang dipinjam.

Setelah Barisan Alternative berjaya memerintah Terengganu, kerajaan yang baru telah mengunah sistem tersebut. Peminjam hanya membayar jumlah yang dipinjam sahaja. Bagi mereka yang telah membuat pinjaman mengikut sistem lama, pinjaman mereka ditukar mengikut sistem baru. Kiranya jumlah yang telah dibayar telah mencukupi jumlah yang dipinjam, mereka tidak perlu membayar lagi walaupun kalau mengikut sistem lama mereka hanya dikira membayar separuh dari jumlah yang perlu mereka bayar sepenuhnya. Selain dari itu, kerajaan Terengganu juga memberi peluang pinjaman tanpa faedah kepada rakyat untuk membeli rumah.

Perkara ini adalah di antara perkara yang melemahkan UMNO dan mereka cuba menghancurkan kerajaan yang ada melalui pemberhentian bayaran royalty Petronas kepada Kerajaan Terengganu. Pada pandangan UMNO, PAS tidak mungkin mampu kekal memerintah Terengganu tanpa wang royalty. YB. Hj Harun Taib menegaskan, kalau UMNO boleh kalah teruk semasa mereka menjadi pemerintah di Terengganu, peluang mereka untuk menang kembali setelah tidak menjadi pemerintah tentulah lebih tipis. Kalau sebelum ini kakitangan kerajaan marah kepada UMNO setakat 70%, dengan isu royalty, kemarahan rakyat kini mencapai 90%. Sebagai buktinya, 10 tahun kerajaan Kelantan dinafikan haknya, PAS tetap menang dengan majoriti besar di Kelantan.

Mngenai isu royalty, Hj. Harun Taib menjawab menteri "gatal mulut" (Rais Yatim) yang nampak terlalu jahil mengenai undang-undang antarabangsa. UMNO mengatakan bahawa kawasan minyak berada di luar perairan Terengganu. Mengikut logiknya, kalau kawasan minyak tersebut di luar perairan Terengganu, ia tentulah berada di luar kawasan Malaysia kerana Terengganu adalah pantai yang terdekat dengan kawasan tersebut. Tanpa kewujudan Terengganu, tak mungkin Malaysia punya hak ke atas kawasan minyak itu.

Walaubagaimanapun, tegas Us. Harun, perjuangan PAS bukan untuk Kelantan Terengganu sahaja, bahkan perjuangan PAS ialah untuk memerintah Malaysia. Dengan kemarahan rakyat yang semakin meluap-luap tidak mungkin UMNO mampu bertahan untuk selama-lamanya.