Dr-Lolo.jpg (5793 bytes)

UMNO Ketawa dan Menangis, Rakyat Tetap Menangis

Taman Senai Utama, 19 Nov. 2000. Tuduhan oleh segelintir pimpinan wanita UMNO bahawa wanita diketepikan di dalam PAS adalah tidak benar sama sekali. Ini dibuktikan apabila kempen pilihanraya Barisan Alternatif di Lunas bermula awal dengan digerakkan oleh Muslimat PAS sebagai tenaga utamanya. Perkara ini disampaikan oleh Dr. Lo Lo Mohd Ghazali, AJK Kerja PAS Pusat di dalam ceramahnya di sini. Beliau juga mendedahkan bagaimana wanita UMNO hanya pandai membuat tuduhan tanpa menyedari kebanyakan masalah di dalam negara ini didokongi oleh UMNO.

Menyebut tentang tragedi kematian dua orang kanak-kanak berumur 2 dan 4 tahun di Perlis yang ditinggalkan ibunya di dalam rumah yang kemudiannya terbakar, pihak wanita UMNO hanya tahu mempertikaikan ibu tersebut. Cerita di sebalik tragedi tersebut tidak pernah diambil indah oleh wanita UMNO. Menurut ibu yang kehilangan anaknya itu, dia terpaksa meninggalkan kedua anaknya di rumah kerana dia dan suaminya tidak mampu membayar perbelanjaan untuk mengasuh anaknya. Itupun, menurutnya, dia hanya meninggalkan anaknya itu sebentar kerana berkerja di restoran berdekatan rumahnya. Inilah cerita derita rakyat Malaysia yang miskin dan tidak berkemampuan. Cerita derita ini sering tenggelam dalam mimpi pembangunan pemimpin UMNO yang sibuk memenuhkan poket masing-masing tanpa menghiraukan tindakan mereka menghasilkan jurang ekonomi dan sosial yang begitu besar.

Dr. Lo Lo juga menyelar kempen pemimpin UMNO yang meningatkan peneroka Felda yang kononya menerima tanah percuma sedangkan peneroka-peneroka Felda terpaksa membayar pelbagai bayaran setiap bulan dan kadang-kadang tidak ada baki di dalam penyata bulanan mereka. Dr. Lo Lo memberitahu bahawa semasa beliau bertugas sebagai doktor di Klinik Kerajaan di sebuah felda di Kedah dahulu, ada wanita-wanita Felda yang datang ke rumah beliau membawa susu dan milo dan meminta supaya beliau membelinya. Apabila ditanya mengapa dia mesti membelinya, wanita tersebut memberitahu bahawa mereka tidak mempunyai wang tunai langsung kerana segala-galanya telah dipotong oleh Felda. Mereka hanya dibenarkan berhutang barangan keperluan dari kedai Felda dan cara menjual semula barangan tersebut sahajalah membolehkan mereka mendapatkan wang tunai.

Dr. Lo Lo juga menyebut bagaimana orang-orang UMNO bertepuk tangan apabila Dr. Mahathir memberitahu bahawa dia pernah senyum, ketawa, bersedih dan menangis di dalam Perhimpunan UMNO bagi menarik perhatian perwakilan. Dalam masa yang lain rakyat Malaysia berhimpun beramai-ramai menyuarakan kehendak dan perasaan mereka tetapi tak pernah diendahkan oleh Mahathir. Dalam peristiwa Himpunan 100,000 rakyat di Jalan Kebun, terdapat seorang ibu yang mempunyai 5 orang anak telah ditangkap dan dipaksa berbogel dan melakukan 'pumping' di lokap oleh seorang polis wanita sehingga orang-orang lain di lokap tersebut terpaksa memalingkan muka masing-masing kerana tidak sanggup melihat perlakuan yang dipaksakan itu.

Kebimbangan UMNO akan kecundang di Lunas menyaksikan bagaimana buat pertama kali dalam sejarah Mahathir menjadi PM, beliau akan turun gelanggang pilihanraya kecil kerana kekalahan BN di Lunas bermakna kerajaan Kedah akan menjadi kerajaan campuran.

Akhir sekali, Dr. Lo Lo mendedahkan usaha menghapuskan perkataan Islam telah berjalan walaupun secara senyap-senyap. Sehingga kini, semua pendaftaran baru untuk perniagaan atau pertubuhan tidak dibenarkan menggunakan sebarang perkataan Islam atau yang berbunyi perkataan Arab. Sebarang permohonan menggunakan nama Islam atau berbahasa Arab akan ditolak.