Sanggang-UMNO kalah dalam menang

Bukit Ramun, 8 April - UMNO tidak boleh terlalu berbangga dengan kemenangan Barisan Nasional di Sanggang kerana statistik menunjukkan bahawa selera pengundi Sanggang yang lalu tidak berubah. Perkara ini dijelaskan oleh YB. Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man di dalam ceramahnya di Felda Bukit Ramun. Dari post-mortem yang dibuat, PAS sebenarnya hanya hilang 190 undi dan ianya dipengaruhi beberapa faktor besar. Kemenangan BN banyak dibantu oleh pengundi-pengundi yang tidak mengundi di dalam pilihanraya lepas. Faktor ini banyak didalangi oleh penggunaan wang untuk membeli undi tersebut.

Terdapat lebih daripada 300 pengundi yang dipercayai mengundi PAS dalam pilihanraya lalu telah hilang namanya dari senarai pemilih. BN pula telah menggunakan wang secara terang-terangan untuk merasuah pengundi. Perkara ini telah dapat dirakamkan di banyak tempat oleh penyokong-penyokong alternatif. Sebagai contoh, Tan Sri Ramli Ngah Talib telah memberi sejumlah wang kepada imam suurau Tanjung Kerayung selepas sembahyang dan perkara ini didaksikan oleh ramai petugas PAS di Tanjung Kerayung. BN juga telah bertindak mengambil kad-kad pengenalan orang-orang Asli bagi menghalang mereka memberikan undi kepada PAS.

Dalam satu kes, PAS telah mengadakan pertandingan menyumpit  dan orang yang ingin menyertainya dikehendaki membawa kad pengenalan mereka. Terdapat seorang asli yang ingin mengambil bahagian telah meminta kad pengenalannya dari agen BN tetapi dihalang dengan berbagai alasan. BN akhirnya terpaksa mengambil keputusan untuk turut mengadakan pertandingan menyumpit di sehari selepas pertandingan anjuran PAS dan meminta orang asli tersebut mengambil bahagian dalam pertandingan anjuran BN. Orang asli tersebut berkeras mahu mengambil bahagian di dalam kedua-dua pertandingan anjuran BN dan PAS untuk mendapat dua hadiah. Akhirnya BN terpaksa mempercepatkan pertandingan mereka pada tarikh dan masa yang sama dianjurkan oleh PAS.

Itu merupakan sebahagian kecil cerita di Sanggang. PAS dikatakan akan membuat petisyen pilihanraya dengan mengemukakan banyak bukti penyalahgunaan wang dan nama pengundi yang hilang.