Dr-Hasan-Col-Emb.jpg (7407 bytes) Syarat-syarat Perpaduan

Taman Aman, 15 Jan 2001.
UMNO sedang dalam keadaan sakit yang teramat sangat. Pelbagai cara dilakukan untuk menyembuhkan penyakit UMNO tetapi nampaknya tidak menampakkan tanda-tanda kesembuhan. Dr. Mahathir terpaksa mencari formula baru untuk menyembuhkan penyakit UMNO ini iaitu dengan mengadakan perundingan dengan PAS dan Keadilan. Perkara ini didedahkan oleh AJK PAS Pusat, YB. Dato' Dr. Hasan Ali yang berceramah di hadapan kira-kira 3000 orang di dalam keadaan gerimis.

Walau bagaimanapun, menurut Dr. Hasan lagi, tidak mungkin wujud perpaduan selagi mana kezaliman masih menjadi pakaian UMNO. Tidak akan wujud perpaduan selagi ahli-ahli dan penyokong BA dianak-tirikan. Tidak mungkin berlaku perpaduan selagi mana sistem kehakiman masih lagi dibelenggu ahli-ahli politik rakus. Tidak mungkin berlaku perpaduan selagimana Anwar Ibrahim masih dizalimi seperti sekarang.

Menurut Dr. Hasan, beliau adalah di antara orang yang rapat dengan Anwar Ibrahim kerana beliau dan Anwar bersama semasa di kampus. Beliau dan Anwar juga mula   menjejaki zaman tua bersama. Menurutnya, beliau adalah di antara orang yang langsung tidak percaya di atas segala tuduhan yang dilemparkan kepada Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim tidak pernah punya sejarah sakit belakang seperti yang dideritai hari ini. Ini bermakna sakit belakang yang dialami oleh Anwar adalah berpunca dari pukulan Rahim Nor. Yang menghairankan, orang yang diinaya kini merengkok di dalam penjara, tetapi Rahim Nor masih mampu hidup mewah dan bergembira.