hatta-ramli.jpg (3046 bytes)

Siapa Salah Guna Kuasa dan Islam

Taman Senai Utama, 19 Nov. 2000. Masyarakat di Johor didedahkan bagaimana kebanyakan kontrak besar di Malaysia dikuasai oleh sekelompok manusia. Kontrak pertama yang besar ialah kerja membersihkan hospital diseluruh Malaysia yang diserahkan kepada anak syarikat Tongkah Holding. Pekerja-pekerja asing yang bekerja di Malaysia pula diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan yang juga diserahkan kepada anak syarikat Tongkah Holding. Projek sistem maklumat bernilai RM 1 billion juga diserahkan kepada Tongkah Holding. Pembekalan komputer ke lebih 2000 sekolah di seluruh Malaysia untuk tujuan mengadakan makmal komputer juga telah diserahkan kepada Tongkah Holding. Yang menghairankan lagi ialah Tongkah Holding adalah milik anak Dr. Mahathir sedangkan Mahathir berkata bahawa anaknya hanya mendapat sedikit sahaja dari projek-projek besar kerajaan dan itupun kerana kebijaksanaan anaknya berniaga. Menyentuh tentang perkara ini Dr. Hatta Ramli, AJK Kerja PAS Pusat mendedahkan bagaimana Konsortium Perkapalan yang dikuasai anak Mahathir yang dikatakan pandai berniaga itu telah kerugian berbillion ringgit sehingga terpaksa menjual kapal-kapal miliknya.

UMNO yang mendakwa mempunyai 2.8 juta keahlian sebanrnya hanya tinggal angka sahaja. Setiap kali perhimpunan UMNO akan ada orang-orang tertentu yang membayar yuran keahlian tahunan nama-nama yang disimpan di dalam senarai ahli UMNO. Masalah kehilangan ahli ini menghantui UMNO sehingga memaksa mereka mengemukakan usul agar keahlian UMNO dibuka kepada remaja berumur 16 tahun. Walau bagaimanapun krisis Wanita UMNO nampak ketara apabila Putri UMNO yang telah diluluskan menghadapi masalah keahlian kerana faktor umur. Mereka masih lagi bertelagah samada keahlian Putri UMNO dihadkan sehingga yang berumur 40 tahun atau 25 tahun sahaja. Pergeseran antara golongan veteran dengan golongan professional muda dalam UMNO tidak dapat disembunyikan lagi.

Menyingkap tentang Himpunan 100,000 Barisan Alternatif, pihak penganjur telah mengemukakan permohonan untuk menggunakan Stadium Bukit Jalil yang sedang menghadapi kerugian kerana terpaksa menanggung kos penyelenggaraan stadium sedangkan ia tidak digunakan sejak Sukan Komonwealth yang lalu. Malangnya permohonan tersebut telah ditolak walaupun MCA pernah menggunakan stadium tersebut untuk jamuan mereka sehingga diberitakan banyak kerosakan berlaku semasa jamuan tersebut dijalankan. Setelah BA mengambil keputusan memindahkan perhimpunan itu ke Jalan Kebun, FRU telah mengadakan sekatan dilebuhraya menuju ke Jalan Kebun menyebabkan kesesakan lalulintas. Kenderaan yang tidak dapat meneruskan perjalanan kerana sekatan itu tidak juga dapat berpatah balik kerana ia adalah laluan sehala. Akhirnya sekatan itu bertukar menjadi perhimpunan di lebuhraya. Setelah pimpinan BA membuat ucapan, mereka telah mengisytiharkan untuk bersurai dan menghantar wakil kepada FRU untuk memohon agar sekatan dihentikan kerana para penyokong BA akan pulang ke destinasi masing-masing. Malangnya pada masa rundingan hendak dibuat FRU telah melepaskan tembakan pemedih mata ke arah penyokong BA sehingga berlaku ketegangan dan menyebabkan pihak polis bertindak memukul penyokong BA termasuk Sdr. Mohamad Sabu. Banyak gambar dan video telah merakamkan keganasan FRU.

Dr. Hatta telah mendedahkan bagaimana UMNO bersandiwara untuk melaksanakan Islam di Kelantan kiranya diberi mandat semula untuk memerintah. Mereka telah menggunakan slogan "UMNO kuat Islam Kuat". Apabila ditanya, mengapa mereka tidak memulakannya di negeri-negeri yang mereka telah kuasai, mereka berdalih dengan mengatakan ingin menjadikan Kelantan negeri model perlaksanaan Islam. Bercakap tentang persoalan judi, Dr. Hatta mendedahkan bagaimana beberapa ahli parlimen BN yang bukan beragama Islam telah menyarankan supaya judi dihapuskan kerana ia dianggap perkara yang merugikan dan bukan sebahagian dari budaya mereka. Tiba-tiba ahli parlimen Arau yang beragama Islam mempertahankan tindakan kerajaan yang mengekalkan judi kerana ia di anggap sebagai toleransi kaum.

Dr. Hatta juga mendedahkan bagaimana gerakan menghapuskan Islam berlaku di UITM di mana para mahasiswa telah membantah tindakan UITM mengarahkan agar nama-nama persatuan yang mengandungi nama Islam ditukarkan sedangkan gerakan anti hadis yang dipelopori oleh JAM (Jamaah Al-Quran Malaysia) terus bergerak bebas walaupun telah disahkan sesat oleh JAKIM hanya kerana ia dilindungi oleh Dr. Mahathir.