saifuddin_nasution.jpg (3377 bytes) YB Lunas di Senai

 
Senai - 5 Feb, 2001

PAS Kawasan Senai mencipta sejarah apabila telah berjaya membawa ADUN Lunas yang mewakili BA ke Parlimen Senai. Dalam kesempatan yang terluang, YB Saifuddin Nasution telah melawat beberapa kawasan dan beramah-mesra di kedai kopi bersama penduduk-penduduk di Felda Taib Andak, Felda Sungai Sayong, Felda Pasir Raja dan Kampung Pertanian. Bukan setakat ahli-ahli BA yang menyambut beliau, malah beberapa AJK UMNO juga telah tampil beramah mesra dengan beliau.

saifuddin1.jpg (18993 bytes)
YB Saifuddin Nasution sedang mendengar luahan hati
peneroka di Felda Sungai Sayong

Di dalam ceramahnya di Felda Bukit Besar, YB Saifuddin Nasution telah mendedahkan bagaimana penduduk Lunas telah mendapat durian runtuh menjelangnya pilihanraya kecil DUN tersebut. Pelbagai projek segera telah dilaksanakan seperti menurap jalan, memasang tiang elektrik ke kampung-kampung, paip air dan sebagainya. Pendeknya 50% tanggungjawab beliau tentang membangunkan DUN Lunas telah diselesaikan oleh kerajaan sebelum beliau menjadi wakil rakyat lagi.

Dengan berlakunya pilihanraya kecil itu rakyat Malaysia dapat menyaksikan bagaimana terdapat kampung-kampung dan penduduk yang tinggal bersebelahan dengan Kawasan Kulim Hi-Tech masih tidak mempunyai kemudahan asas sepert elektrik dan air. Pun begitu, pemimpin BN masih lagi mendabik dada bahawa hanya BN yang mampu membawa kemajuan walaupun telah terbukti masih ada kawasan yang dhaif sedangkan ia tidak sepatutnya tertinggal dari arus pembangunan.

saifuddin2.jpg (18051 bytes)
YB Saifuddin Nasution yang sedang makan tengahari
di Felda Taib Andak mendengar dengan teliti apa yang
diluahkan salah seorang penduduk

YB Saifuddin juga mendedahkan bagaimana terdapat penceramah-penceramah BN yang membesar-besarkan bahawa beliau bukan lahir di Malaysia, tetapi lahir di Singapura dan mempunyai sentimen kecinaan. Lantas perkara tersebut telah digunakan sepenuhnya olh BA bahawa wakil BA itu mampu mewakili masyarakat Melayu dan juga bukan Melayu sekali gus bagi menyampaikan hasrat rakyat jelata.

Beliau mendedahkan bagaimana pemimpin-pemimpin UMNO, yang mencanangkan agar tidak mempolitikkan masjid, mereka sendiri yang melanggar cakap-cakap mereka. Menteri Besar Selangor, Mohd Khir Toyo telah pergi ke masjid Taman Selasih dan lantas meluru menjadi imam sedangkan imam sebenar ada di situ. Kesannya, para jemaah yang sedang menunggu untuk sembahyang telah keluar dari masjid beramai-ramai kerana membantah tindakan biadab MB Selangor itu.

Usaha media memburuk-burukkan hubungan DAP-ADIL nyata tidak berhasil apabila masyarakat bukan Melayu turut membanjiri ceramah BA. Lebih memburukkan lagi apabila rakyat sedar penipuan yang dibuat oleh media mengenai krisis DAP-ADIL apabila Lim Kit Siang dan pemimpin utama DAP yang lain telah turun beramai-ramai berkempen untuk calon ADIL.

Selepas kemenangan BA, dalam ceramah sulungnya di Lunas, YB Saifuddin menyatakan bahawa beliau telah menyediakan sebuah rumah di salah sebuah ladang di Lunas untuk Samy Vellu tinggal selaras dengan janji menteri itu yang mahu tinggal di Lunas kiranya BN kalah. Kemenangan BA di Lunas merupakan suatu tamparan hebat kepada BN terutamanya di Selangor, Perak dan lain-lain negeri yang mempunyai peratusan dan komposisi kaum seperti di Lunas. Kalau BA mampu menang di Lunas, bermakna harapan BA untuk menang di negeri-negeri tersebut adalah cerah. Kemenangan BA di Lunas juga memberi peluang parti-parti komponen BN yang lain seperti MCA dan MIC untuk membuat pelbagai tuntutan kerana mereka mengetahui bahawa kekuatan BN bergantung penuh kepada pengundi-pengundi bukan Melayu.