Polis minta ceramah Dr. Hassan Ali dihentikan

Senai, 23 Mei.....Pihak polis telah bertindak mengarahkan PAS Kawasan Senai untuk mengehentikan Ceramah Perdana yang diadakan di Felda Bukit Batu dengan penceramah utamanya Dato' Dr. Hassan Ali walaupun program telah berjalan kira-kira 45 minit. Semasa Sdr. Mazlan Aliman, Ketua DPP Negeri Johor sedang berucap, pihak polis telah menggunakan 'hailer' dan menyuruh Sdr. Mazlan Aliman menghentikan ceramahnya dalam masa lima minit. Walau bagaimanapun arahan itu tidak diendahkan lebih-lebih lagi semasa kekecohan berlaku kompang dimainkan dengan penuh bersemangat menyambut ketibaan Dato. Dr. Hassan Ali. Walaupun ramai hadirin mempertikaikan tindakan polis itu, para penceramah tidak sedikitpun menyelar sikap polis bahkan mengucapkan terima kasih di atas kehadiran polis.

Dalam perkembangan sebelumnya Polis telah berjumpa dengan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Senai, Sdr. Mohd. Najib Abd Aziz. Polis telah memberitahu bahawa ceramah tersebut tidak mendapat kelulusan Polis. Persoalan yang ditimbulkan ialah Polis telah menyatakan kelulusan ceramah tersebut pada 18 Mei, 2000 tapi telah di batalkan pada keesokan harinya. Menurut polis mereka terpaksa tunduk kepada arahan pihak 'atasan' yang mahu ceramah tersebut dihentikan. Yang paling mengejutkan orang ramai ialah tindakan polis yang membawa beberapa ekor anjing polis ke ceramah tersebut. Perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana pihak polis sedang berurusan dengan orang Islam yang datang hanya untuk mendengar ceramah. Ramai pihak yakin bahawa pemimpin UMNO terlibat di dalam usaha menghentikan ceramah tersebut yang sekali gus memberi tekanan kepada pihak polis agar tindak bagi pihak mereka.