Pemimpin UMNO koyak kad jemputan?

Sungai Sayong, 30 Jan - PAS Kawasan Senai telah mengadakan Program Jamuan Hariraya yang diadakan di Felda Sungai Sayong pada 30 Januari 2000. Tetamu kehormat yang dijadualkan hadir pada jamuan tersebut di samping berceramah pada malamnya ialah tokoh sasterawan terkenal YB Prof. Dato' Shahnon Ahmad. Malangnya kerana keuzuran, beliau terpaksa membatalkan kedatangannya walaupun tiket kapalterbang pergi dan balik sudah ditempah.

Di sebalik jamuan tersebut terselit cerita-cerita yang kurang enak didengar mengenai sikap pemimpin UMNO tempatan. Diberitakan seorang pemimpin pemuda UMNO tempatan telah mengoyakkan kad jemputan program jamuan tersebut walaupun PAS Senai mengadakan jamuan untuk mengeratkan hubungan di kalangan masyarakat lebih-lebih lagi selepas selesainya pilihanraya. Selain itu seorang pemimpin kuat UMNO Senai yang juga dijemput dikatakan naik radang dengan jemputan itu.

Menambahkan isi perbualan mulut ke mulut dalam majlis itu ialah bagaimana AJK UMNO tempatan dikatakan meminta petugas program tersebut untuk memulangkan kerusi meja UMNO yang disewa dari UMNO Sungai Sayong walaupun persetujuan telah dibuat di atas penyewaan tersebut. Walau bagaimanapun majlis tersebut tetap meriah walaupun dengan ketiadaan Dato' Shahnon yang telah mengalahkan bekas menteri kanan UMNO, Dato' Hamid Osman di Parlimen Sik. Jamuan yang disediakan untuk kira-kira seribu orang habis dhidangkan kepada tetamu yang hadir dan tiada sedikitpun yang dibazirkan.