PAS mendapat sokongan artis

Senai, 12 Mei.....Bekas penyanyi rock, Us. Akhil Hj. Hai mendedahkan hari ini bahawa terdapat ramai artis yang insaf mula mendekati PAS. Ini dapat disaksikan sendiri oleh masyarakat Malaysia bagaimana artis terkenal, Ogy Ahmad Daud yang bertekad meninggalkan dunia glamour artis dan mengambil tanggungjawab untuk menjadi pendakwah. Selain itu tidak kurang juga artis-artis yang bersama dengan parti alternatif lain seperti Keadilan. Malangnya, menurut Us. Akhil, hasrat murni para artis yang ingin menyampaikan dakwah kepada masyarakat dihalang oleh kerajaan.

Ini terbukti apabila Ogy diberi amaran oleh pihak KDN agar tidak melibatkan diri dengan parti alternatif terutamanya PAS. Sebelum ini Ogy telah dilarang menghadiri jemputan oleh Masjid Subang bagi menyampaikan ceramahnya. Kerajaan juga dipersalahkan di atas setiap masalah sosial yang berlaku di dalam masyarakat hari ini. Kebanyakan program sosial yang meruntuhkan akhlak diizin dan bahkan dianjurkan oleh kerajaan. Parti politik dari barisan alternatif dihadkan segala kemudahan untuk mengadakan ceramah atau perhimpunan tetapi kerajaan memberikan ruang seluas-luasnya untuk kerja maksiat. Sebagai contoh, penganjur Konsert Michael Jackson yang hanya memohon permit konsert untuk satu malam telah diberi keizinan untuk mengadakannya selama tiga malam. Bahkan pernah dua konsert rock yang berlangsung di satu stadium berlanjutan sehingga ke pagi walaupun sepatutnya setiap perhimpunan tamat jam 12.00 malam.

Selain itu Us. Akhil juga menceritakan bagaimana orang-orang berketurunan Cina adalah antara pendengar dan peminat ceramah PAS dan akhbar Harakah sehingga sekatan yang dikenakan ke atas harakah menimbulkan rungutan di kalangan mereka.