Lidah Berbelit Dr Mahathir

16 April.... Dr. Mahathir merasa seolah-olah seperti seorang hero apabila media memaparkan berita yang kononnya Himpunan Black 14 tidak mendapat sambutan walaupun sumber lain mengatakan jumlah penyokong reformasi yang berkumpul sebenarnya melebihi 6000 orang. Dalam kenyataannya, Dr. Mahathir dengan angkuh mengatakan bahawa perjuangan Keadilan sudah tidak mendapat sambutan rakyat.

Suka kita menyingkap hal sebenar yang berlaku di sebalik kenyataan Mahathir itu. Sebelum berlangsungnya perhimpunan Black 14 itu Dr. Mahathir dan seluruh jentera suruhannya telah mengemukakan pelbagai ugutan agar rakyat tidak menyertai perhimpunan tersebut. Pihak polis berkali-kali memberi amaran bahawa mereka akan bertindak tegas dan menangkap mereka yang terlibat di dalam perhimpunan tersebut. Umum telah mengetahui akan tindakan ganas polis apabila berhadapan dengan perhimpunan seperti ini. Apabila jumlah yang berhimpun tidak seramai yang dijangkakan, mereka memutarkan fakta dengan mengatakan perjuangan refomasi sudah semakin dingin.

Anology yang sesuai ialah seperti kita melarang orang meletakkan sebarang makanan di dalam sangkar burung, kemudian apabila burung kelaparan kita mengatakan bahawa burung tersebut tidak mahu makan. Kita cabar kerajaan BN agar meluluskan sebarang permohonan untuk berhimpun, dan kita akan ketahui adakah benar dakwaan Dr. Mahathir itu.