Kerajaan PAS Terengganu batal pembinaan masjid

Felda Taib Andak, 12 Feb – Kerajaan PAS Terengganu telah membatalkan cadangan kerajaan negeri di bawah pemerintahan BN untuk membina masjid baru yang lebih besar dan indah di Kuala Terengganu. Perkara ini dinyatakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu yang baru, YB Us. Husin Awang di dalam ceramahnya di Felda Taib Andak, Kulai. Perkara ini mungkin didengar sebagai suatu perkara yang pelik bagi sesetengah orang; PAS yang memperjuangkan Islam telah menghalang pembinaan masjid yang baru. Tapi, menurutnya, inilah perjuangan PAS di mana soal pembaziran adalah suatu perkara yang perlu dihindarkan dan diperangi walaupun di dalam soal pembinaan masjid. Di Kuala Terengganu sudah terdapat tiga buah masjid besar yang belum dimakmurkan sepenuhnya. Jadi, menurut Menteri Besar, Tuan Haji Abdul Hadi Awang, pembinaan masjid baru adalah tidak perlu, sebaliknya usaha hendaklah dilakukan untuk menjadikan masjid yang sedia ada dimakmurkan.

Di dalam ceramahnya juga, Haji Husin memberitahu bahawa BN Terengganu sedikitpun tidak menyangkakan kekalahan mereka di dalam pilihanraya yang lalu dan mereka telah menempah hotel untuk diadakan majlis meraikan kemenangan BN. Akibatnya mereka tidak sempat menyembunyikan atau melarikan fail-fail rahsia yang mungkin mengandungi fakta-fakta penyelewengan Kerajaan di pimpinan Wan Mokhtar. Petugas PAS yang berkawal di Wisma Darul Iman pada malam kemenangan telah terserempak dengan bekas Menteri Besar yang datang pada jam 4.30 pagi untuk masuk ke pejabatnya dengan alasan untuk mengambil barang-barang peribadi. Tetapi petugas PAS meminta Wan Mokhtar agar datang semula pada keesokan harinya pada waktu pejabat.

Sehingga kini, selepas hanya 3 bulan PAS mengambil-alih kerajaan negeri, PAS telah membuat beberapa perubahan penting yang gagal dilakukan oleh kerajaan BN walaupun sudah 25 tahun memerintah. Antara perubahan yang dilakukan ialah menghapuskan tol di Jambatan Sultan Mahmud, menghapuskan cukai pintu untuk bangunan kediaman, menghapuskan cukai tanah dan digantikan dengan zakat dan kharaj, memindahkan simpanan kerajaan negeri ke bank-bank yang mengamalkan sistem Islam, tidak menyambung permit perjudian dan mengharamkan penjualan arak secara terbuka, mengambil-alih hutang peneroka Felda dan menyediakan pinjaman kenderaan secara Islam kepada kakitangan kerajaan.

Selain itu kerajaan PAS membuka semula permohonan tanah untuk diberikan kepada petani-petani yang hanya menyewa tanah dari individu untuk diusahakan. Kerajaan PAS juga akan membahagikan tanah kepada penduduk yang belum mempunyai tanah untuk kediaman. Tidak cukup dengan itu, kerajaan PAS juga mengadakan pertemuan terbuka bagi mendengar komen dan rasa tidak puashati rakyat dan membenarkan mereka membuat kritikan-kritikan terbuka terhadap kepincangan kerajaan PAS.