Kerajaan Abaikan Pendidikan dan Akhlak

Senai, 23 Mei.....Dato' Dr Hasan Ali yang juga ADUN Sungai Burung menegaskan betapa perlunya umat Islam memilih PAS dan Barisan Alternatif dalam pilihanraya Umum 2004 kerana perjuangan UMNO dan Barisan Nasional membawa kehidupan umat Islam kepada kehancuran akhlak dan sosial.

Antara lain beliau menyatakan kerajaan Barisan Nasional telah memperuntukkan perbelanjaan berbilion ringgit dan menyediakan tanah seluas 480 hektar untuk projek Entertainment Village (Perkampungan Hiburan) di Sepang sebaliknya menyediakan peruntukan yang begitu kecil untuk projek pendidikan seperti Sekolah Agama Rakyat. Menurutnya, kerajaan sedang gila untuk membina studio terbesar dan tertinggi di dunia untuk industri perfileman. Beliau turut menceritakan pengalamannya membuat kajian terhadap sosio ekonomi Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Selangor yang didapati cukup daif dari sudut infrastruktuf, sumber manusia dan kewangan. Beliau juga mendedahkan bagaimana kerajaan Malaysia yang kaya tidak mampu menyediakan gaji yang memuaskan kepada guru-guru agama. Ini dapat dibuktikan apabila gaji guru yang tidak sampai RM 500.00 sebulan terpaksa dikongsikan pembayarannya oleh 3 pihak iaitu JAIS, Baitul-Mal dan JAKIM.

Dalam ceramah yang dihadiri ribuan hadirin itu beliau turut mengajak hadirin mengambil perhatian serius terhadap pendidikan anak-anak serta menyedari akan unsur negatif yang dibawa oleh media massa di negara ini khususnya televisyen. Katanya pengisian rancangan televisyen di negara kita kini sebahagian besarnya hanyalah menumpukan aspek hiburan dan kiranya tidak disekat, ianya akan merosakkan akhlak umat Islam.