Hari Keluarga PAS Kawasan Senai meriah

Felda Taib Andak, 18 Jun, 2000... PAS Kawasan Senai telah mengadakan Hari Keluarga PAS Kawasan Senai yang telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, YB. Hj. Mahfudz Omar. Program tersebut telah disertai hampir 2000 orang tempatan dari semua lapisan masyarakat tidak mengira bangsa termasuk ahli-ahli parti alternatif lain dan juga ahli UMNO sendiri. Pertubuhan Belia 4B dan GPW juga tidak ketinggalan memeriahkan majlis tersebut. Program ini menjadi bukti bahawa rakyat sebenarnya sudah lama menerima perjuangan parti lain selain UMNO.

Semua program yang disediakan mendapat sambutan hangat. Program yang diadakan dibahagikan kepada 4 kategori iaitu Marathon, sukaneka, program khidmat masyarakat dan juga pameran dan jualan. Program sukaneka yang disediakan meliputi aktiviti untuk semua peringkat umur seperti tarik tali, basikal lambat, motosikal lambat, timbang bola takraw, dam haji, menganyam ketupat, gubahan sireh dan kain, bayi comel, mewarna dan tiub belon. Program Khidmat Masyarakat menyediakan perubatan Darul-Syifa', urut refleksologi, gunting rambut dan nasihat guaman yang semuanya disediakan secara secara percuma.

Terdapat juga pelbagai gerai pameran dan jualan yang dibuka untuk lawatan orang ramai. Orang ramai yang hadir begitu berpuashati dengan program yang diadakan dan berharap program sedemikan yang boleh menghimpunkan masyarakat dapat terus diadakan pada masa-masa yang akan datang.