Hanya 36% Melayu sokong BN

Felda Taib Andak, 18 Jun, 2000..... kajian pilihanraya umum 1999 menunjukkan bahawa hanya 36% Melayu mengundi BN. Ini didedahkan oleh YB. Hj. Mahfudz Omar, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena. Perkara ini, menurutnya, merisaukan UMNO dan kini mereka mengenakan pelbagai tekanan kepada Barisan Alternatif termasuk menafikan hak bersuara, berhimpun, akhbar dan sebagainya. Ahli-ahli parti alternatif dinafikan hak mereka untuk mendapat pinjaman, biasiswa, berniaga, kontrak dan sebagainya. Wakil-wakil rakyat BA pula tidak diberikan hak yang sepatutnya untuk mengagihkan peruntukan dan projek di dalam kawasan yang dimenangi oleh mereka.

Sebagai contoh, Parlimen Pokok Sena yang dimenangi beliau mendapat peruntukan RM 500,000.00 setahun dan peruntukan tersebut sepatutnya diberi melalui beliau selaku wakil rakyat, tapi sebaliknya kerajaan BN menyalurkan peruntukan tersebut melalui calon BN yang tewas. Perkara ini bertentangan dengan apa yang dinyatakan di dalam  prinsip demokrasi. Ini jelas menunjukkan BN tidak menghormati pilihan rakyat. Sebaliknya, di dua negeri yang dimenangi oleh Parti Alternatif iaitu di Terengganu dan Kelantan, Kerajaan negeri memberi peruntukan yang sama kepada semua wakil rakyat termasuk wakil rakyat BN yang menjadi pembangkang dalam negeri tersebut.

Contohnya, Menteri Besar Terengganu, YB Haji Abdul Hadi Awang, mengisytiharkan peruntukan RM 100,000.00 kepada setiap DUN dan ianya akan disalurkan melalui wakil rakyat masing-masing. Bagi PAS rakyat tidak boleh dihukum walaupun mereka tidak mengundi PAS dalam pilihanraya lalu kerana mereka diberi hak dan kebebasan untuk memilih kerajaan.