Bukan Islam menerima perjuangan PAS

Senai, 19 April.....Us. Ahmad Awang menyatakan bahawa pada hari ini perjuangan PAS bukan saja disokong oleh orang Islam bahkan rakyat yang belum Islam turut menyatakan sokongan. Perkara ini dijelaskan olehnya di mana semasa beliau mengadakan program dialog di Sungai Siput Utara (Perak) beliau telah ditanya oleh orang belum Islam bilakah PAS akan membenarkan orang belum Islam menyertai PAS.

Di dalam pertemuannya dengan ketua-ketua masyarakat Cina di Ipoh pula, beliau menjelaskan bagaimana ketua-ketua masyarakat Cina tersebut meminta diadakan pertemuan masyarakat Cina dengan Hj. Nik Aziz dan Haji Abd. Hadi di Ipoh bagi mereka mendapatkan gambaran sebenar perjuangan PAS dan sistem pemerintahan yang ingin diketengahkan oleh PAS. Menurutnya, masyarakat Cina sudah tidak mahu mendengar propaganda Barisan Nasional mengenai PAS.

Seterusnya, Us. Ahmad Awang menyelar JAKIM yang melarang ulamak dan guru agama yang tidak sealiran dengan UMNO mengajar di masjid dan surau atas alasan tidak mahu Islam dipolitikkan sedangkan di Sanggang ramai pegawai-pegawai JAKIM dan ulamak UMNO yang terang-terangan mengadakan perjumpaan politik di dalam masjid dan surau seperti yang dilakukan oleh Hamid Osman sendiri. Beliau juga menyatakan rasa kecewa dengan sistem perundangan di Malaysia yang dikatakan berjalan dalam bentuk pakej. Apabila sesuatu kes melibatkan kepentingan kroni dan kerajaan BN mereka telah menetapkan pakej untuk membicarakan kes-kes itu dengan menetapkan hakim, saksi dan juga keputusannya terlebih dahulu.