Antara Ogy dan Hamid Othman

Senai, 23 Mei.....Dato' Dr. Hasan Ali turut berasa kesal dengan reaksi pihak kerajaan khususnya Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Hamid Othman yang menimbulkan gambaran negatif terhadap bekas pelakon popular, Fauziah Ahmad Daud yang mulai giat menjalankan ceramah dakwah.

Dr. Hamid Othman baru-baru ini dilaporkan oleh sebuah akhbar tabloid meminta Ogy menghentikan kegiatan ceramahnya kerana ceramahnya didakwa mengandungi unsur-unsur 'pemujaan' dan penyelewengan akidah. Sementara itu Ogy dalam kenyataannya di Berita Harian ahad lepas menafikan dakwaan yang menyatakan beliau pernah bekerjasama dengan bekas pengikut al-arqam dan berjumpa dengan bekas pemimpin tertingginya, ustaz Asaari Muhammad.

"Mengapa ketika Ogy (Fauziah Ahmad Daud), hanyut dalam kegiatan hiburannya dan menjadi idola anak-anak muda, Dr. Hamid Othman tidak sibuk mempersoalkan dan mengajak masyarakat supaya jangan mengikut jejak langkahnya, kenapa apabila Ogy kini sudah bertaubat dan ingin mengajak orang lain menjadi baik, beliau seolah-olah mahu anak-anak muda agar jangan menjadikan Ogy sebagai contoh ikutan...?" soalnya.

Kalangan pemerhati politik mencurigai tindakbalas Dr Hamid Othman itu yang disifatkan berbau politik dan tidak berasas.

Ogy beberapa bulan lalu dilihat begitu mesra dengan isteri Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak ketika diberi penghormatan melancarkan semula majalah terbitan Dewan Muslimat, 'Muslimah'.

Oleh itu beliau menyeru umat Islam khasnya dan rakyat Malaysia amnya supaya menyingkirkan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya yang akan datang agar kezaliman mereka dapat dihentikan dan digantikan dengan keadilan dan kesejahteraan Islam yang diperjuangkan oleh PAS.