Antara demokrasi, toleransi dan kompromi

Senai, 19 April.....AJK PAS Pusat, Dr. Lo Lo Ghazali menjelaskan bahawa pilihanraya di dalam amalan demokrasi merupakan pengiktirafan oleh sesebuah negara terhadap hak rakyatnya untuk memilih kerajaan yang disukai oleh mereka. Malangnya, apa yang berlaku di dalam negara ini ialah rakyat seolah-olah tidak berhak untuk memihak kepada parti selain dari BN. Sebagai contohnya, kakitangan diberi amaran agar tidak menyokong pembangkang. Anggota polis atau tentera tidak dibenarkan memihak kepada parti politik pembangkang. Rakyat dianggap tidak bersyukur sekiranya menyokong pembangkang. Hak rakyat yang menyokong pembangkang dinafikan seperti yang berlaku di Melaka dan Pahang. Us. Abas pula menyatakan bahawa berlaku kekeliruan di dalam kerajaan BN di antara toleransi agama dengan kompromi. Menurut beliau seseorang yang mengaku beragama akan bersiasah secara orang yang beragama. Sebagai contoh, arak boleh dijual di dalam sesebuah negara Islam sebagai toleransi terhadap masyarakat bukan Islam yang tiada larangan meminum arak. Toleransi tersebut bermaksud membenarkan orang bukan Islam mendapatkan arak dari tempat-tempat yang diizinkan oleh kerajaan menurut peraturan tertentu untuk diminum di rumah masing-masing. Tetapi apa yang berlaku di dalam kerajaan BN ialah kompromi iaitu mengikut kehendak orang bukan Islam dan kepentingan ekonomi dengan membina kilang-kilang arak yang besar dan menjadi sumber pendapatan negara.