Audit Johor : RM 203 juta tidak dapat disahkan

Senai - 23 Mac, 2001

Razak Ahmad, Timbalan Pengerusi PRM mendedahkan, di dalam laporan audit negara bagi kewangan negeri Johor 2000, yang baru dibentangkan, sejumlah RM 203 juta tidak dapat disahkan oleh juruaudit kerana tidak mempunyai dokumen seperti invois, boucer dan sebagainya. Beliau berceramah bersama YB Saifuddin Nasution di Taman Senai Utama anjuran Parti Keadilan nasional Bahagian Senai. Rakyat yang sedar tertanya-tanya bagaimana wang sebanyak itu tidak dapat dikesan ke mana perginya.

Perbadanan Johor telah menubuhkan 300 anak syarikat dan sehingga kini telah rugi RM 300 juta. Tidak cukup dengan itu, Ghani Othman telah menubuhkan KPRJ (Kumpulan Perasarana Rakyat Johor) yang mendapat aset hasil pemberian tanah oleh kerajaan negeri kepada KPRJ. KPRJ kini telah diisytiharkan muflis kerana hutang yang terlalu banyak.

Dalam tahun 1995 Ghani Othman telah disaman oleh Stamford Holding kerana kerajaan Johor mahu mengambil tanah miliknya dengan menggunakan akta pengambilan tanah yang telah disalahgunakan. Begitu juga yang berlaku di Gelang Patah di mana rakyat hanya dibayar RM 30,000.00 bagi seekar tanah yang telah diambil oleh kerajaan yang kemudiannya di jual kepada anak syarikat Renong dengan harga lebih dari RM 120,000.00.