Pengundi Semakin Bijak

malekyusuf-s.JPG (8271 bytes)

Felda Bukit Batu, Kulai, 23 Feb, 2001.
Pengundi-pengundi di Malaysia disifatkan sebagai semakin bijak dan berani apabila sebahagian besar undi telah dialihkan kepada Barisan Alternatif di dalam pilihanraya umum yang lalu. Perkara ini telah dinyatakan oleh YB. Hj. Malek Yusuf, ADUN Tahan yang telah berceramah di sini baru-baru ini.

Pada masa dahulu, pengundi seolah-olah takut dan terlalu hormat kepada calon yang telah mereka pilih. Ada pengundi yang memuji-muji kenderaan mewah wakil rakyat mereka walaupun dia sendiri tidak pernah merasa duduk di dalam kenderaan tersebut. Ada pengundi yang takjub dengan kehebatan rumah wakil rakyat mereka tetapi dia sendiri tidak pernah dijemput menjejakkan kaki ke rumah tersebut.

Pada hari ini, pengundi sudah tahu menilai harga seorang wakil rakyat. Ada sesetengan pengundi apabila melihat kenderaan mewah wakil rakyat mereka terus bertanya, dari mana Yang Berhornat dapat duit untuk membeli kereta mewah tersebut, sedangkan elaun seorang wakil rakyat tidaklah terlalu besar iaitu kira-kira RM 3000 sebulan.

Di negeri Pahang, pengundi tidak lagi dapat digula-gulakan dengan projek-projek yang dijanjikan oleh calon parti BN kerana bagi mereka walau apapun projek yang dijanjikan, ia adalah dari wang rakyat juga. Sebab itu, di Negeri Pahang, wakil rakyat PAS berjanji akan menjadi pembangkang yang cekap dan akan memberi tekanan kepada kerajaan Negeri. Kesan dari itu, wang-wang tanam semula peneroka Felda yang menggunakan wang sendiri dalam proses tanam semula mula dibayar kepada peneroka. Tindakan kerajaan yang telah mengarahkan 4 kementeriannya berbincang secara khusus untuk menyelesaikan masalah peneroka yang menghadapi masalah kejatuhan harga sawit, merupakan satu lagi bukti bahawa wakil rakyat pembangkang mampu memberi peranan yang berkesan.