PAS Senai selesai Mesyuarat Agong

Senai, 22 April, 2001.

PAS Kawasan Senai telah selesai mengadakan Mesyuarat Agong Kali Ke-12 dengan penuh kemesraan dan harmonis. Sebelum itu Dewan Pemuda PAS Kawasan dan Dewan Muslimat PAS Kawasan juga telah selesai mengadakan mesyuarat agong masing-masing. Di dalam kesemua mesyuarat, proses pemilihan dilakukan dengan penuh lancar. Ia menyaksikan jawatan-jawatan utama dalam semua organisasi tidak berlaku sebarang pertandingan.

Yang Dipertua PAS Kawasan yang lalu, Haji Hassan Husin, masih dikekalkan sebagai YDP. Sdr. Aminuddin Ayiub bertukar portfolio iaitu dari Ketua Dewan Pemuda kepada Ketua Penerangan PAS Kawasan. Jawatan Ketua Dewan Pemuda yang dikosongkan oleh beliau telah diisi oleh Emran Kammin yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Penerangan Kawasan. Bagi Dewan Muslimat, Puan Hatijah Mohd Jani kekal sebagai Ketua.

Pemilihan kali ini juga menyaksikan penambahan portfolio baru iaitu jawatan Timbalan Yang Dipertua dan Timbalan Ketua Dewan-dewan. Perubahan ini adalah hasil pindaan perlembagaan PAS yang baru  diluluskan. Bagi organisasi peringkat Kawasan, Sdr Mazlan Aliman yang sebelum ini menjadi Naib Yang Dipertua kini dinaikkan sebagai Timbalan Yang Dipertua. Tempat beliau diganti oleh Hj. Rafiee Maasom. Sdr Fariz Salleh pula memenuhi jawatan Timbalan Ketua Pemuda dan juga Setiausaha Kawasan sementara bagi organisasi muslimat, jawatan timbalan ketua disandang oleh Pn. Norhasliza A. Zainuddin.