Haji Aminolhuda rasmikan Mesyuarat Agong di Hotel Sofitel

Senai, 22 April, 2001.

PAS Kawasan Senai menempa sejarah baru sejak penubuhannya dengan mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan Kali Ke-12 di Hotel Sofitel Palm Resort, Senai yang bertaraf lima bintang. Majlis bersejarah ini telah dirasmikan oleh Haji Aminolhuda Hassan, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Johor. Di dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada PAS Kawasan Senai yang telah menunjukkan prestasi yang baik di negeri Johor. Beliau mengingatkan sepatutnya Mesyuarat Agong menjadi medan yang lebih penting berbanding ceramah kepada ahli PAS. Ini kerana Mesyuarat Agong merupakan medan muhassabah.

Menurutnya, PAS Kawasan Senai telah berjaya menjadi tuan rumah kepada banyak program besar samada anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Johor mahupun Dewan Pemuda PAS Negeri Johor. Di dalam ucapannya juga beliau menggesa ahli-ahli PAS di Kawasan Senai terus gigih bekerja dan sentiasa berusaha memperbaiki prestasi gerakerja PAS tanpa mengira kedudukan dan jawatan yang disandang. PAS perlu mengambil peluang sebaiknya untuk meraih simpati dan sokongan rakyat ketika pemerintahan BN penuh dengan kecacatan.