Raja Komando sahkan konspirasi

Senai, 16 April, 2001.

Raja Komando telah bersumpah menyebut nama Allah di hadapan kira-kira 800 orang di Felda Sungai Sayong bagi membuktikan kebenaran kata-katanya mengenai konspirasi jahat bagi menjatuhkan Dato' Sri Anwar Ibrahim oleh Dato' Aziz Shamsudin (Timbalan Menteri Pendidikan sekarang yang pada masa itu adalah setiausaha sulit Dr. Mahathir) dan rakan-rakannya. Menurutnya, beliau merupakan antara orang yang dipanggil oleh Dato' Aziz Shamsudin untuk menjayakan konspirasi tersebut. Beliau juga mendedahkan bagaimana beliau telah mengubah fikiran dan akhirnya menemui Anwar Ibrahim bagi mendedahkan komplot tersebut.

Menurut Raja Komando, konspirasi jahat itu bermula apabila Dr. Mahathir yang sebelum itu begitu mempercayai Anwar telah mengisytiharkan Anwar sebagai pengganti beliau. Kepercayaan tersebut dibuktikan apabila Mahathir telah bercuti di luar negara dan menyerahkan tugas beliau dipangku oleh Anwar selama beliau bercuti. Apa yang dilakukan oleh Anwar semasa ketiadaan Mahathir ialah memanggil sidang kabinet bagi meminda akta rasuah. Akta rasuah sebelumnya menyebut bahawa wakil rakyat yang telah tamat temph perkhidmatannya tidak boleh dikaitkan dengan kesalahan yang dilakukan semasa ia menjawat jawatan itu. Akta tersebut telah dipinda bagi membolehkan wakil rakyat dibicarakan bagi kesalahan tersebut walaupun tempoh perkhidmatannya telah tamat. Pindaan akta tersebut merupakan suatu tamparan hebat kepada ramai pemimpin UMNO yang mengamalkan rasuah dan bermulalah konspirasi menjatuhkan Anwar.

Kemarahan Mahathir kepada Anwar semakin bertambah apabila Anwar enggan meluluskan penggunaan wang KWSP nagi menyelamatkan syarikat milik anak Mahathir dan kroninya yang lain. Sejak dari itu, pergeseran dan perbezaan pendapat semakin ketara antara Mahathir dan Anwar. Antaranya, apabila Mahathir membuat kenyataan bahawa kerajaan akan menyelamatkan syarikat-syarikat besar dari masalah kewangan, Anwar pula akan membuat kenyataan balas bahawa syarikat-syarikat kecil juga akan dibantu.

Raja Komando juga mendedahkan bahawa Dato' Aziz merupakan orang yang bertanggungjawab menokok tambah surat yang dikemukan oleh Umi Hafilda kepada Mahathir.