Tangguh perbicaraan - Penyokong BA jangan mengalah

Kulai, 13 Mac 2001.

Ketiga-tiga aktivis BA Kawasan Senai yang sepatutnya dibicarakan pada 14 Mac 2001 di Mahkamah Sesyen Kulai, Mazlan Aliman (PAS), Aminuddin Ayiub (PAS) dan Hatta Khalid (ADIL) telah diminta untuk datang ke Balai Polis Kulai bagi dilanjutkan tempoh ikat jamin mereka sehingga 27 Mac 2001 kerana pihak polis belum dapat menyiapkan pertuduhan yang akan di buat ke atas mereka. Mereka telah ditangkap selepas ceramah Kempen Selamatkan Wang Rakyat anjuran Pemuda BA Pusat di Taman Senai Utama, Senai.

Menurut Mazlan Aliman, Ketua Dewan Pemuda PAS Johor yang turut sama ditangkap, PAS sudah menduga penangguhan perbicaraan itu kerana ia merupakan salah satu taktik pihak polis untuk melemahkan semangat berhimpun penyokong BA apabila perbicaraan itu ditangguhkan beberapa kali sebelum perbicaraan sebenar diadakan.

Sehubungan itu Mazlan Aliman meminta semua penyokong BA tidak mengalah dengan taktik pihak polis itu dan akan terus memberi sokongan kepada mana-mana ahli/penyokong BA yang ditangkap.