Kisah Nabi Noh dan Kesinambungan Perjuangan PAS

Senai, 04 Mei, 2001.

Sejarah mendedahkan bagaimana Nabi Noh a.s telah datang bertemu kaumnya dan mengajak mereka beriman kepada Allah tetapi kaumnya hanya memekakkan telinga. Perkara ini merupakan suatu sejarah yang sering berulang dan dilalui oleh semua pejuang kebenaran di setiap zaman. Perkara ini dijelaskan oleh Us. Kamal Ashaari, bekas Imam Rawatib Masjid Negeri Selangor.

Menjadi suatu pengajaran besar apabila Allah memerintahkan Nabi Noh membina bahtera di atas bukit di dalam musim kemarau. Walaupun ia merupakan perkara yang tidak masuk akal, ianya tetap dilaksanakan oleh Nabi Noh tanpa banyak bertanya kerana ia adalah perintah yang datang dari Allah. Perintah Allah memang tidak boleh disukat oleh akal semata-mata.

Walaupun bahtera yang dibina Nabi Noh jauh dari kebanyakan manusia dan langsung tidak mengganggu sesiapa, orang yang tidak beriman tetap merasa sakit hati dan tidak senang duduk. Maka berlakulah banyak gangguan semasa proses pembinaan bahtera tersebut. Walaupun mengikut logiknya bahtera tersebut tidak mungkin siap dengan berlakunya banyak gangguan, bahtera tersebut tetap siap kerana ia merupakan perintah dari Allah. Apabila Allah memerintahkan sesuatu tentulah Allah akan mempastikan perintahNya itu terlaksana. Begit jugalah halnya dengan perintah Allah melaksanakan hukum Islam, ia akan tetap terlaksana walaupun UMNO dan BN berusaha mengekang usaha tersebut.

Dengan kebencian segolongan pemimpin di kalangan umat Nabi Noh yang tidak beriman dengan Allah, mereka memaksa orang lain untuk turut membenci Nabi Noh dengan mengarahkan agar mereka berak dan kencing di dalam bahtera Nabi Noh sehingga diriwayatkan bahawa tidak ada suatu ruang pun di dalam bahtera tersebut yang tidak terkena najis. Tetapi dengan kuasa Allah umat Nabi Noh telah ditimpa wabak penyakit kulit. Seorang anak muda yang buta dan penuh dengan penyakit kulit yang tergesa-gesa masuk ke dalam bahtera Nabi Noh telah terjatuh ke atas najis. Selepas peristiwa itu didapati penyakit kulitnya sembuh. Apabila ditanya, dia anak muda itu memberitahu bahawa najis di dalam bahtera Nabi Noh itulah yang telah menjadi ubat penyakitnya. Orang ramai yang tahu tentang berita tersebut berebut-rebut mengambil najis di dalam bahtera Nabi Noh sehingga behtera tersebut menjadi bersih kembali.

Us. Kamal menegaskan bahawa itulah nasib yang bakal menimpa semua penentang Islam, di mana fitnah yang mereka lemparkan akan terkena kepada diri mereka kembali, bahkan ia menjadi lebih teruk lagi. Antara tuduhan yang dilemparkan oleh UMNO kepada PAS ialah sekiranya PAS memerintah, maka akan berlaku pembunuhan dan huru-hara, tetapi apa yang berlaku pembunuhan dan huru-hara berlaku di Selangor di negeri yang UMNO berkuasa. UMNO berkata rakyat akan jatuh miskin kiranya PAS memerintah sedangkan pada hakikatnya sekarang terdapat lebih 100,000 rakyat yang tidak berumah di Selangor. UMNO juga menuduh PAS punca perpecahan sedangkan apabila ibu Dato' Sri Anwar Ibrahim meninggal, tiada seorang pun pemimpin UMNO yang menjenguk muka sedangkan wanita itu pernah menjadi ketua kaum ibu UMNO Pulau Pinang.

Oleh kerana UMNO begitu terdesak, mereka menggunakan pengaruh artis seperti Era Fazira untuk menarik sokongan, sedangkan pada masa yang sama ia menunjukkan golongan masyarakat yang baik tidak mahu lagi menyokong UMNO. Kalau sebelum artis menjadi pemimpin, mereka sudah merosakkan kehidupan remaja, apatah lagi bila mereka diberi peluang menjadi pemimpin, rakyat akan menjadi lebih rosak lagi. Perpecahan dan politik wang dalam UMNO menyebabkan Dr. Mahathir membuat kenyataan bahawa orang yang terlalu kaya tidak dibenarkan bertanding, sedangkan Dr. mahathir sendiri antara pemimpin yang terlalu kaya.

UMNO yang semakin terdesak telah mengungkit kembali Amanat Haji Hadi yang telah berlaku 20 tahun dulu. Hj. Hadi telah menghantar surat kepada Dato' Ismail Ibrahim, pengerusi Majlis Fatwa, untuk diadakan muzakarrah tetapi Dato' Ismail menyatakan kengganannya di saat akhir. Mengenai ISA pula, pandangan Dr. Kasim Ahmad yang anti hadis telah dipopularkan. Kasim Ahmad menyatakan ISA adalah selari dengan peristiwa Nabi Musa dan Nabi Khidzir di mana Nabi Musa tidak diizinkan oleh Nabi Khdzir untuk bertanya apa yang dibuatnya; iaitu membocorkan sampan, membunuh anak kecil dan merobohkan bangunan.