Make your own free website on Tripod.com

Kembali

KHALIFAH HANYA ADA SEHELAI BAJU

Suatu hari Khalifah Umar berpidato di hadapan kaum muslimin. Sebagaimana biasa, pidato beliau sangat menarik dan memikat para pendengar. Akan tetapi pada kali ini, selain kandungan pidatonya, gerak-geri Khalifah pula turut menjadi perhatian. Khalifah sering memegang dan mengibas-ngibaskan bajunya ketika berpidato, sesekali di sebelah kanan dan sesekali pula di sebelah kiri. Dengan demikian orang ramai menyedari bahawa gerakan tangan khalifah tidak ada kena mengena dengan kandungan pidato.

Setelah Khalifah turun daripada tempat berpidato, mereka bertanya sesama sendiri dan akhirnya diketahui rahsianya. Dikatanan bahawa baju yang dipakai Khalifah baru saja dibasuh dan belum kering. Kerana ketiadaan baju lagi, maka baju itu dipakainya juga. Oleh itu beliau selalu menggerak-gerakkan bajunya ketika berpidato agar cepaat kering.

Ketika Khalifah Umar Abdul Aziz sakit, pakaian yang dipakainya telah kotor. Muslimah Abdul Malik kakak Fatimah Abdul Malik datang menemui adiknya dan melihat Khalifah yang sedang sakit. “Fatimah, basuhlah pakaian Khalifah itu. Sekejap lagi orang ramai akan masuk menemuinya,” tegur Muslimah. “Demi Allah, beliau tidak punya pakaian lain kecuali yang dipakai itu,” jawab Fatimah.

Seorang perempuan Mesir telah datang ke Damsyik kerana ingin bertemu dengan Amirul Mukminin Khalifah Umar Abdul Aziz. Dia bertanya-tanya di mana istana Khalifah dan orang ramai menunjukkannya. Sampai saja di rumah yang dimaksudkan, perempuan Mesir itu bertemu dengan seorang perempuan yang memakai pakaian yang sudah lusuh dan buruk dan seorang lelaki sedang bergelumang dengan tanah kerana memperbaiki rumahnya. Perempuan itu bertanya lagi dan apabila mengetahui bahawa perempuan yang ditanya itu adalah Fatimah isteri Khalifah, dia terkejut luar biasa. Kerana mana ada seorang permaisuri raja yang berkuasa memakai baju buruk seperti itu. Dia berasa takut dan kagum. Akan tetapi Fatimah pandai melayan, sehingga tetamu itu berasa suka dan tenang hatinya.

“Mengapa puan tidak menutupi diri daripada lelaki tukang bancuh pasir itu?” tanya perempuan Mesir itu. “Tukang bancuh pasir itulah Amirul Mukminin,” jawab Fatimah sambil tersenyum. Sekali lagi tetamu itu terkejut dan beristighfar.

Khalifah Umar tidak mempunyai pelayan kecuali seorang kanak-kanak lelaki. Dialah satu-satunya khadam dalam istana Umar. Fatimah memberinya makan kacang setiap hari sehingga si pelayan menjadi bosan. “Kacang… kacang… setiap hari kacang,” kata si pelayan merungut. “Inilah makanan tuanmu Amirul Mukminin, wahai anakanda,” kata Fatimah.

Diceritakan bahawa seorang lelaki dan isterinya di Syam telah merelakan anaknya ikut berperang di jalan Allah dan menemui syahid di medan perang. Beberapa masa kemudian dia melihat seorang lelaki dengan menunggang kuda datang menuju ke arahnya. Setelah diperhatikan, ternyata pemuda itu seiras anaknya yang telah meninggal dunia. “Hai, cuba kamu lihat pemuda yang berkuda itu, seperti anak kitakan?” kata lelaki itu kepada isterinya. “Semoga Allah merahmati engkau. Janganlah tertipu oleh syaitan. Anak kitakan sudah syahid, bagaimana boleh menunggang kuda seperti itu?” tanya isterinya.

Sementara suami-isteri itu memperhatikan dengan betul, tiba-tiba pemuda penunggang kuda itu telah berada di hadapannya. “Assalamu’alaikum,’ kata penunggang kuda. “Wa’alaikumsalam,” jawab kedua-dua suami isteri itu. Ternyata dia memang anaknya, maka terkejutlah kedua-dua ibu bapa itu sambil segera memeluknya. Mereka gembira luar biasa bercampur hairan. “Ayah, ibu tetap saja di situ,” kata pemuda itu menegur. “Saya bukan seperti ayah dan ibu lagi, demikian juga ayah dan ibu bukan seperti saya. Saya datang pun bukan untuk pulang kepada ayah dan ibu.

”Kedua-dua ibu bapa itu faham akan maksud anaknya, mereka pun bertenang. Kemudian anak itu menerangkan bahawa kedatangannya bukan sengaja. “Sebenarnya aku datang bukan untuk mengunjungi ayah dan ibu, tapi hanya mengambil kesempatan saja dalam keperluan lain. Iaitu Amirul Mukminin Khalifah Umar Abdul Aziz telah wafat. Golongan syuhada minta izin kepada Allah untuk hadir dalam pengurusan jenazahnya. Allah memperkenankan permintaan mereka dan saya termasuk di dalamny.” Kemudian, dia bertanya keadaan ibu bapanya, menghormatinya dan menjanjikan kebaikan daripada Allah. Lepas itu dia mendoakan ibu bapanya memberikan salam lalu pergi. Dengan itu, penduduk kampung mengetahui bahawa Khalifah mereka Umar Abdul Aziz telah wafat.

Kembali